MIAMI: Novak Djokovic tidak akan beraksi pada kejohanan Terbuka Miami selepas gagal menerima pelepasan untuk memasuki Amerika Syarikat (AS) tanpa vaksin untuk COVID-19.
Pengarah kejohanan, James Blake memberitahu The Tennis Channel pada Sabtu bahawa pemain nombor satu dunia itu, juara enam kali di Miami, dinafikan visa untuk memasuki AS walaupun usaha terbaik dari pegawai kejohanan.
“Kami melakukan apa yang kami mampu. Kami cuba untuk bercakap dengan kerajaan tetapi ia di luar kuasa kami,” kata Blake dengan kejohanan bermula pada Isnin.
“Kami cuba dan dia tidak dapat bermain, keputusan yang sama seperti di Indian Wells.”
Djokovic tidak dibenarkan satu tempat pada kejohanan Indian Wells minggu ini kerana sebab yang sama.
“Kami mahu dia bermain di sini dan dia adalah juara terhebat kami, juara enam kali. Jadi sememangnya kami mahu dia bermain di sini tetapi malangnya, ia (undang-undang) lebih tinggi dari kemampuan saya,” kata Blake.
Djokovic sudah terlepas beberapa kejohanan kerana tidak menerima vaksin untuk COVID-19 tetapi dibenarkan bertanding di Terbuka Australia tahun dan memenangi kejuaraan ke-10 di Melbourne dan juga kejuaraan Grand Slam yang ke-22 dalam kariernya - berkongsi rekod kejuaraan dengan Rafael Nadal.
“Kami sudah berusaha dengan semua pilihan yang kami tahu,” kata Blake. “Kami berharap Novak akan kembali tahun hadapan.”
Pihak berkuasa AS dijangka akan mengurangkan syarat wajib vaksin COVID-19 pada bulan Mei, yang akan membolehkan Djokovic bermain di Terbuka AS.
“Saya berharap dia akan kembali mungkin pada lewat kejohanan di AS, di Cincinnati dan Terbuka AS,” kata Blake. — AFP