Anda di sini

Borneo Eagles raih gelaran Ragbi Antarabangsa Borneo 7s buat kali ketujuh

Advertisement
Pasukan lelaki Borneo Eagles meraikan kejuaraan selepas menjuarai kategori lelaki bagi Kejohanan Ragbi Borneo Sevens hari ini. - Gambar Bernama
Pasukan lelaki Borneo Eagles meraikan kejuaraan selepas menjuarai kategori lelaki bagi Kejohanan Ragbi Borneo Sevens semalam. - Gambar Bernama
SANDAKAN: Borneo Eagles meraih kejuaraan kejohanan Ragbi Antarabangsa Borneo Tujuh Sebelah 2023 buat kali ketujuh selepas menewaskan Hong Kong China Dragons 17-12 dalam aksi final, di sini, semalam.

Ulangan aksi final edisi lepas pada 2019, perlawanan sengit tersebut  menyaksikan pasukan tuan rumah mendahului 7-5 pada separuh masa pertama sebelum Hong Kong China Dragons cuba bangkit pada babak kedua untuk mengikat kedudukan 12-12.

Beberapa minit sebelum wisel penamat, Kaleb Jean muncul wira pasukan Borneo Eagles apabila berjaya melakukan 'try’ untuk mempertahankan kejuaraan, sekali gus memastikan kemenangan kejuaraan ketujuh selepas edisi 2004, 2007, 2015, 2016, 2017 dan 2019.

Gabungan pemain Malaysia dan warga New Zealand, pasukan Kelab Ragbi Eagles (ERC) itu menyifatkan perlawanan tersebut sukar dan sengit sehingga penghujungnya.

Ketua pasukan, Serupepeli Naqasima, berkata pasukan lawan itu merupakan skuad kebangsaan Hong Kong yang sedang membuat persiapan bagi menghadapi kejohanan Hong Kong Tujuh Sebelah dalam masa dua minggu lagi.

“Kami mengelak daripada melakukan kesilapan dan memberi tekanan sehingga wisel penamat,” katanya.

Dalam pada itu Kelab ERC meraih kejayaan berganda apabila pasukan wakilnya, Eagles NZ 7s, muncul pasukan tuan rumah pertama menjulang trofi kategori wanita sejak pertama kali diperkenalkan pada 2001, dengan menewaskan pasukan Kazakhstan, 22-10.

Pasukan tuan rumah, dibarisi pemain warga tempatan dan warga New Zealand itu, hanya dibentuk beberapa minggu lalu dan kapten pasukan, Rebekah Cordero Tufuga berkata semua pemain berusaha keras sepanjang latihan dan perlawanan untuk mencipta sejarah.

Juara kategori lelaki dan wanita masing-masing menerima trofi dan hadiah wang tunai US$5,000 (RM22,428) manakaal naib juara membawa pulang US$2,500 (RM11,214).

Hadiah disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Hadir sama menyaksikan perlawanan final ialah bekas pemain All Blacks (New Zealand), Rockey Khan dan bekas jurulatih kebangsaan skuad Tujuh Sebelah Samoa, Sir Gordon Frederick Tiietjens. - Bernama 

Advertisement