Anda di sini

Persidangan UMNO Lahad Datu dicemari insiden pergaduhan

Advertisement
 Video klip yang tular memaparkan insiden pergaduhan semasa persidangan UMNO Lahad Datu.
KECOH: Video klip yang tular memaparkan insiden pergaduhan semasa persidangan UMNO Lahad Datu.

LAHAD DATU: Persidangan UMNO Bahagian Lahad Datu di Dewan Sri Perdana di sini semalam dicemari dengan insiden pergaduhan disyaki akibat provokasi oleh penyokong calon bertanding.

Tular beberapa klip video dan gambar di media sosial yang memaparkan kejadian di atas pentas dewan berkenaan.

Berdasarkan video itu, beberapa penyokong dipercayai tidak berpuas hati dan menaiki pentas ketika Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Mejar (B) Khalid Harun sedang berucap sehingga tercetusnya pergaduhan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata kejadian berlaku kira-kira jam 2.45 petang.

“Insiden itu bermotifkan provokasi sehingga menyebabkan pergaduhan beberapa orang di atas pentas utama dewan itu.

“Dua individu berjawatan sebagai Setiausaha Eksekutif Badan Perhubungan UMNO Sabah dan Pemuda UMNO Lahad Datu mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Katanya, sepasukan pegawai polis segera bertindak menghentikan perhimpunan itu dan berjaya mengawal keadaan.  

“Polis mengenal pasti dua lelaki masing-masing berumur 33 dan 38 tahun yang juga ahli biasa UMNO Lahad Datu terlibat dalam kejadian berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(3) Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu kesalahan melanggar syarat-syarat perhimpunan,” katanya.

Menurutnya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan ‘Order To Investigation’ dan arahan selanjutnya.

“Penganjur perhimpunan berkenaan juga diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk membantu siasatan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement