Anda di sini

NRECC diminta percepatkan projek RTB Sungai Tawau Fasa 1B

Advertisement
LO SU FUI
LO SU FUI

TAWAU: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) diminta mempercepatkan projek Tebatan Banjir (RTB) Sungai Tawau, Lembangan Sungai Tawau (Fasa 1B) untuk menangani isu banjir di daerah ini.

Ahli Parlimen Tawau Lo Su Fui berkata, kekerapan banjir di daerah ini berlaku sehingga empat kali setahun dan menjejaskan kehidupan kira-kira 20,000 orang penduduk di sini.

Katanya, Sungai Tawau kini tidak dapat lagi menampung kapasiti aliran air terutamanya pada musim hujan yang menyebabkan air sungai tersekat dan melimpah keluar.

“Projek Tebatan Banjir (RTB) Sungai Tawau, Lembangan Sungai Tawau (Fasa 1A) ketika ini sudah terhenti dan seolah-olah tiada lagi kesinambungan projek ke fasa seterusnya.

“Projek Fasa 1A masih tidak mampu mengatasi masalah banjir di daerah ini dan keadaan terkini Sungai Tawau besarnya hanya 20 meter di hulu, manakala di hilir sebesar tujuh meter sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meminta menteri NRECC mengatasi masalah banjir di Tawau pada  sidang Parlimen, baru-baru ini.

Menurutnya, kerajaan khususnya kementerian NRECC diminta supaya tidak melakukan projek separuh jalan yang akan menyusahkan rakyat.

Lo juga mencadangan kementerian NRECC untuk memasang kunci air automatik bagi mengurangkan risiko berlakunya banjir.

“Seterusnya, perlunya juga menjalankan projek sistem pengaliran lencongan Sungai Tawau melalui Kampung Pasir Putih dan Kukusan sehingga ke laut,” katanya.

Beliau berharap, kerajaan dan kementerian NRECC mengambil perhatian berkenaan masalah banjir yang dihadapi oleh penduduk di Tawau.

“Saya percaya Kerajaan Perpaduan yang mendengar denyut nadi rakyat akan mengambil tindakan segera dan mengeluarkan peruntukan yang sewajarnya,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement