
PARIS:Juara bertahan Real Madrid akan menentang Chelsea pada suku akhir Liga Juara-Juara untuk dua musim berturut-turut, manakala Manchester City berhadpan dengan bekas pasukan kendalian Pep Guardiola, Bayern Munich dalam undian semalam.
Pendahulu Serie A, Napoli menentang AC Milan dalam pertembungan semua pasukan Itali dan Inter Milan berdepan pendahulu liga Portugal, Benfica.
Pemenang perlawanan antara Real dan Chelsea akan berdepan sama ada City atau Bayern pada separuh akhir, membuka peluang untuk perlawanan empat pasukan terakhir semua pasukan Inggeris.
Itu juga meningkatkan peluang untuk melihat pasukan Itali mara ke final buat kali pertama sejak Juventus pada 2017, kerana Inter akan bermain dengan sama ada Milan atau Napoli dalam empat perlawanan terakhir sekiranya Nerazzurri menewaskan Benfica.
Laluan Real ke Piala Eropah ke-15 mula kelihatan seperti musim lalu, apabila mereka menewaskan Chelsea dan City sebelum menewaskan Liverpool di final.
Pasukan Carlo Ancelotti baru sahaja menewaskan Liverpool dalam pusingan 16 akhir, dan kini berharap untuk mengulangi peretembungan setahun yang lalu apabila mereka menyingkirkan Chelsea secara agregat 5-4 pada suku akhir, dengan Karim Benzema menjaringkan hatrik pada perlawanan pertama di London.
Pasukan-pasukan itu juga bertemu di separuh akhir pada 2021, apabila pasukan Stamford Bridge itu menang dalam usaha mereka untuk menjulang trofi buat kali kedua.
Usaha berterusan City untuk memenangi Liga Juara-Juara buat kali pertama menghadapi halangan besar, iaitu pasukan Bayern yang menumbangkan Paris Saint-Germain (PSG) pada pusingan terakhir.
Ia akan menjadi pertemuan pertama antara kelab sejak peringkat kumpulan 2014/2015, ketika Guardiola mengendalikan kelab gergasi Jerman itu.
Guardiola meninggalkan Bayern untuk menyertai City pada 2016, tetapi masih mengejar gelaran Liga Juara-Juara yang sulung sebagai jurulatih sejak memenanginya bersama Barcelona buat kali kedua pada 2011.
“Ia akan menjadi pertemuan semula dengan Pep Guardiola dan Erling Haaland, bertemu dengan kenalan lama dari Bundesliga,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Bayern, Oliver Kahn.
“Untuk memenangi Liga Juara-Juara anda perlu menewaskan pasukan terbaik. Itulah cabarannya dan kami menerimanya.”
Keputusan undian kelihatan agak berat sebelah, dengan empat kelab terkaya dalam pertandingan semuanya berada pada pihak yang sama, manakala kelab Itali di separuh yang lain lagi.
Setahun lalu, tiada pasukan Serie A berjaya melepasi pusingan 16 akhir, tetapi kini pendahulu liga Itali, Napoli akan menentang pasukan yang memenangi kejuaraan domestik musim lalu.
Napoli menang kepada Milan 2-1 di tempat lawan dalam liga awal musim ini dan akan menjadi tuan rumah juara Eropah tujuh kali itu dalam Serie A pada 2 April, hanya seminggu setengah sebelum perlawanan pertama Liga Juara-Juara mereka.
Napoli dan Citu merupakan kelab yang tidak pernah memenangi trofi, manakala pertemuan Inter dengan Benfica menghimpunkan dua pasukan yang memenangi kejohanan itu sebanyak lima kali.
Benfica tewas kepada Liverpool dalam aksi lapan akhir setahun lalu dan tidak pernah mara ke separuh akhir dalam era Liga Juara-Juara.
Inter, yang kini berada di tempat kedua dalam Serie A, duduk 18 mata di belakang Napoli, belum mara ke separuh akhir sejak memenangi trofi di bawah kendalian Jose Mourinho pada 2010, kemenangan terakhir untuk kelab Itali itu dalam Liga Juara-Juara.
Jika kedua-dua kelab Milan mara, mereka akan bertemu di separuh akhir Liga Juara-Juara seperti pada 2003, apabila AC Milan menewaskan Inter menerusi peraturan gol di tempat lawan yang kini tidak lagi digunapakai.
Pusingan pertama suku akhir akan dimainkan bulan depan, dengan City di tempat sendiri menentang Bayern pada 11 April dan Benfica menerima kunjungan Inter di Lisbon pada hari yang sama. — AFP