Anda di sini

Bot nelayan ditahan bersama kru warga asing

Advertisement
 Bot nelayan yang ditahan selepas didapati mengambil PTI sebagai pekerja.
DITAHAN: Bot nelayan yang ditahan selepas didapati mengambil PTI sebagai pekerja.

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan tempatan selepas didapati menggajikan pendatang tanpa izin (PTI) sebagai pekerja kira-kira jam 5 petang Jumaat lepas.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, bot terbabit ditahan di kedudukan sekitar 13 batu nautika barat Pulau Mengalum dekat sini.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati seramai 15 kru termasuk tekong yang disyaki warganegara Filipina berada di dalam bot berkenaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas dokumen pengenalan diri mendapati hanya empat orang memiliki pasport, manakala 11 kru lagi mengemukakan dokumen yang meragukan.

"Pemeriksaan dokumentasi turut mendapati lesen bot berkenaan tamat tempoh dan bot berkenaan menggunakan senapang sedutan atau tempuling serta racun untuk tangkapan ikan," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, kesemua 15 kru terbabit, bot dan hasil tangkapan disita seterusnya ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959 serta Akta Perikanan 1985.

Dalam pada itu, pihaknya menyeru kepada komuniti maritim untuk terus menyalurkan sebarang maklumat kesalahan jenayah laut yang berlaku di perairan Malaysia, khususnya di sekitar perairan Sabah dengan menghubungi talian Pusat Operasi MN Sabah dan W.P Labuan di 088-387774.
 

  • oleh
  • Advertisement