Anda di sini

TEKUN sedia dana RM5 juta untuk usahawan Pasar Tamu

Advertisement
 Ewon (tiga kiri) menyempurnakan simbolik penyerahan pada majlis berkenaan.
SERAH: Ewon (tiga kiri) menyempurnakan simbolik penyerahan pada majlis berkenaan.


KOTA BELUD: TEKUN Nasional memperuntukkan RM5 juta untuk disalurkan kepada usahawan di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT). 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick berkata, dijangka seramai 1,000 usahawan informal dan mikro akan mendapat manfaat daripada skim ini.

 “Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) ini adalah pembiayaan mikro berkumpulan bagi usahawan pasar tamu untuk meningkatkan pendapatan dan taraf sosio ekonomi golongan B40 khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Usahawan di pasar tamu layak memohon pembiayaan SPUT sehingga RM5,000 Skim pembiayaan ini menggunakan konsep berkumpulan bagi menyediakan kemudahan pembiayaan dengan lebih mudah, cepat dan efisien untuk keperluan perniagaan tertaluk kepada terma dan syarat pembiayaan TEKUN Nasional.

“Pembiayaan ini juga terbuka kepada usahawan informal. Bagi memohon SPUT usahawan informal boleh mengisi borang pengesahan perniagaan tanpa mengemukakan borang pendaftaran perniagaan SSM," katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) di sini, hari ini.

Beliau berkata, usahawan di bawah SPUT akan dilindungi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri PERKESO sebagai perlindungan insurans kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri.

Katanya, sehingga kini seramai 57 orang usahawan telah mendapat pembiayaan di bawah SPUT dengan nilai RM525,000.

"Daripada jumlah tersebut, 41 orang terdiri daripada usahawan Sabah dengan nilai RM177,000 dan 16 orang usahawan Sarawak dengan nilai pembiayaan RM75,000.

"Seramai 25 orang usahawan SPUT di sekitar Kota Belud menerima cek pembiayaan yang secara keseluruhannya bernilai RM109,000 di majlis ini," katanya.

Menurutnya, kerajaan perpaduan kini komited dalam meningkatkan kesejahteraan dalam membina semula ekonomi negara khususnya Bumiputera.

Katanya, kerjasama yang erat dapat menjamin kesejahteraan insan berteraskan konsep Malaysia MADANI dan meningkatkan taraf hidup rakyat sekali gus mempercepatkan dan merealisasikan transformasi sosio ekonomi negara ke arah menjadi negara maju serta berpendapatan tinggi.

Sejak diwujudkan pada tahun 1998 sehingga Februari 2023, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan kepada 548,473 orang usahawan dengan nilai RM8.17 bilion di seluruh negara.

TEKUN Nasional akan terus komited dalam membantu usahawan informal dan mikro dalam menyediakan pembiayaan serta pembangunan usahawan.
 

  • oleh
  • Advertisement