Anda di sini

Tecktonic & Sons Holdings mahu bina lebih banyak hotel sepanjang Pan Borneo Sarawak

Advertisement
Hotel Roxy Aiman, Kota Samarahan dan Sambal-Sambal Cafe.
Hotel Roxy Aiman, Kota Samarahan dan Sambal-Sambal Cafe.

KUCHING: Tecktonic & Sons Holdings Sdn Bhd berhasrat untuk membina lebih banyak hotel, medan selera dan pasar raya besar di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, kata Pengarah Urusannya Lee Chin Teck.

Hasrat itu disampaikan beliau kepada pemberita semasa pelancaran pembukaan Hotel Roxy Aiman di Kota Samarahan, pagi Sabtu.

"Kita akan mengikut pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo bermula dari Sematan ke Lawas yang mana akan kita akan bina sebuah hotel, pasar raya LePapa dan medan selera bagi kepanjangan 1,000km lebuh raya itu nanti," katanya.

Mengenai projek seterusnya, Lee berkata Roxy Impiana di Hospital Umum Sarawak (HUS) akan mula dibina pada Julai depan.

"Cerucuk sudah mula ditanam di Lawas bagi pembinaan sebuah pasar raya besar keluasan 120,000 kaki persegi termasuk sebuah medan selera dan sebuah hotel.

"Selepas Lawas kita akan ke Asajaya, Tatau dan Selangau iaitu pekan-pekan kecil di Sarawak termasuk pembinaan hotel bertaraf lima bintang, 70 bilik di Lundu yang akan kita lancar pada penghujung tahun ini.

Lee (empat kanan) bersama Wellington (tiga kanan), Sabillah (dua kanan), Kent (kanan) dan Ari (dua kiri) di Hotel Roxy Aiman, Kota Samarahan.
Lee (empat kanan) bersama Wellington (tiga kanan), Sabillah (dua kanan), Kent (kanan) dan Ari (dua kiri) di Hotel Roxy Aiman, Kota Samarahan.

"Siniawan dan Malihah juga akan dibina sebuah hotel setiap satunya yang akan dibuka dalam tahun ini, termasuk Hotel Roxy The Grand di Jalan Arang," katanya.

Beliau juga mendedahkan pembinaan hotel yang akan dimulakan di Sarikei dan Selangau. 

"Pembinaan Hotel Roxy kita jalankan secara agresif," tegasnya.

Sementara itu, beliau berkata Kota Samarahan dan Asajaya mempunyai kepadatan penduduk sekitar 300,000 orang dengan kawasan perumahan yang besar termasuk kewujudan institusi pengajian awam UNIMAS, UiTM dan Hospital UNIMAS yang sedang dalam pembinaan.

Bagaimanapun katanya, Kota Samarahan tidak mempunyai perkhidmatan hotel.

Justeru katanya, pihaknya telah mengubah suai tujuh unit rumah kedai kepada hotel butik iaitu Hotel Roxy Aiman dengan 48 bilik dan mempunyai Sambal-sambal Cafe dengan empat unit rumah kedai dan dua ruangan dewan serbaguna untuk menjalankan mesyuarat, majlis dan sebagainya.

"Sebanyak 12 daripada 48 bilik di Hotel Roxy Aiman telah diubah suai dengan alat bantu dapur seperti dapur aruhan dan perkakasan memasak untuk mereka yang tinggal lebih lama.

"Penginap yang tinggal lebih lama iaitu antara dua minggu ke sebulan akan turut diberikan diskaun," ujarnya.

Bilik rekaan moden kontemprorari.
Bilik rekaan moden kontemprorari.

Rekaan bilik adalah moden kontemprorari dan harga bilik antara RM99 dan RM130 semalam, selain mempunyai bantuan AI (Kecerdasan Buatan) dan RI (Kecerdasan Sebenar) sebagai menyahut seruan pendigitalan dan teknologi dalam industri perhotelan.

Dua dewan serbaguna iaitu Dewan Batang Sadong dan Dewan Tanjung Bundong boleh menjadi venue aktiviti keramaian termasuk bufet dengan makanan disediakan oleh Hotel Roxy Sunny Hill yang mempunyai pensijilan halal.

Kawasan parkir juga luas dan majlis perasmian hotel dijangka disempurnakan oleh oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada 22 Mac ini.

Bagi penginap yang tinggal lama disediakan dapur aruhan dan perkakasan memasak.
Bagi penginap yang tinggal lama disediakan dapur aruhan dan perkakasan memasak.

Selain Hotel Roxy Aiman, Kota Samarahan, terdapat enam cawangan Hotel Roxy dibuka sebelum ini iaitu Hotel & Apartment Roxy (Sunny Hill), Hotel Roxy Padungan, Hotel Roxy Serabang, Hotel Roxy Sematan, Hotel Roxy Serian dan Hotel Roxy Sri Aman.

Turut hadir Pengurus Besar Kumpulan Hotel Roxy Wellington Naya, Pemilik Sambal-Sambal Cafe Kent Chong, Pengurus Besar F&B Kumpulan Hotel Roxy Sabillah Shapiee dan Pengarah ZK Digimax, Indonesia Ari Sardjono
 

  • oleh
  • Advertisement