Anda di sini

Tahap kesedaran pendaftaran e-dagang di SSM meningkat

Advertisement
 

MELAKA: Tahap kesedaran pemilik syarikat perniagaan e-dagang dan usahawan dalam talian untuk mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kini semakin meningkat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata ia hasil daripada pelbagai inisiatif diwujudkan kerajaan termasuk pendaftaran percuma bagi golongan belia.

"Sehingga 28 Feb lepas, sebanyak 686,908 entiti perniagaan secara dalam talian dan 10,633 syarikat dalam talian di seluruh negara telah berdaftar dengan SSM.

"Kita percaya era digital ini memberikan impak positif, syarikat yang menjalankan perniagaan dalam talian menunjukkan perkembangan sangat baik dan kita akan bantu mereka terutama mereka yang terlibat dalam ekonomi gig ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan bangunan pejabat baharu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Melaka di Kota Fesyen, MITC Ayer Keroh di sini hari ini. 

Salahuddin turut menggalakkan usahawan belia segera mendaftarkan perniagaan mereka di bawah Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) yang dimulakan sejak awal tahun ini.

"Kita ada peruntukan sebanyak RM10 juta bagi program SPPP ini dan sejak dimulakan 1 Jan lepas, SSM telah menerima 60,273 pendaftaran dengan 32,597 daripadanya adalah usahawan B40 dan 27,676 kategori pelajar sepenuh masa.

"Jadi saya galakkan  golongan muda jangan lepaskan peluang ini dengan mendaftarkan segera perniagaan mereka, memandangkan sambutan dalam tempoh tiga bulan ini amat menggalakkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata perkhidmatan pendaftaran SSM secara dalam talian juga telah memudahkan proses pendaftaran perniagaan kerana ia menjimatkan kos dan memberi keselesaan kepada pelanggan.

"Seperti hari ini, kita telah buka satu pejabat baharu di Melaka dan diharapkan fasiliti yang disediakan akan menggalakkan lebih ramai usahawan di negeri ini mendaftarkan entiti mereka di bawah akta yang dikawal selia oleh SSM.

"Berdasarkan statistik, pendaftaran SSM di Melaka adalah antara yang paling aktif apabila sehingga 28 Feb lepas sebanyak 317,305 syarikat didaftarkan, manakala jumlah syarikat yang diperbadankan dengan SSM adalah 29,639.

"Jadi kita harap pihak berkepentingan di Melaka terus berganding bahu bersama SSM untuk menggalakkan komuniti niaga di negeri ini mendaftarkan perniagaan mereka," katanya. -BERNAMA
 

Advertisement