Anda di sini

Sukan wadah penting bentuk masyarakat harmoni, bersatu padu

Advertisement
Ding merakamkan kenangan bersama sebahagian daripada pasukan yang berentap pada Pertandingan Futsal Tertutup anjuran Unit SABERKAS Taman Bintang Bintangor 2023 pada Jumaat.
Ding merakamkan kenangan bersama sebahagian daripada pasukan yang berentap pada Pertandingan Futsal Tertutup anjuran Unit SABERKAS Taman Bintang Bintangor 2023 pada Jumaat.

BINTANGOR: Sukan mampu menjadi wadah penting dalam usaha membentuk sebuah masyarakat yang harmoni dan bersatu padu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, sejak dari dahulu penganjuran aktiviti sukan telah menyatukan rakyat merentasi garis kaum dan agama.

"Jangan sesekali kita mencemarkan keindahan dan kedamaian sukan dengan elemen atau pandangan negatif. 

"Jadikanlah sukan sebagai jambatan untuk kita lebih bersatu padu dan saling memahami. 

"Jadikanlah sukan sebagai pentas untuk kita sama-sama mengharumkan nama negara dan ia mampu dijadikan kerjaya yang menjamin masa depan dan akhirnya akan menyumbang kepada ekonomi diri, keluarga dan negara," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Pertandingan Futsal Tertutup anjuran Unit SABERKAS Taman Bintang Bintangor 2023 di Gelanggang Futsal Taman Bintang Bintangor pada Jumaat.

Ding berkata, golongan belia yang menyertai pertandingan itu harus bersaing secara sihat dan penuh semangat kesukanan.

"Kita perlu ingat, menang dan kalah adalah adat pertandingan, justeru kita berharap yang tidak berjaya akan terus berusaha untuk pertandingan akan datang.

"Manakala yang berjaya cuba untuk mempertahankan kejayaan dan berusaha meningkatkan lagi mutu dan kualiti permainan.

"Kita akan sentiasa memberi sokongan terhadap penganjuran program seumpama ini dan berharap ia mampu menjadi platform terbaik untuk melahirkan golongan belia yang berjaya dan cemerlang dalam bidang sukan," ujar Ding lagi.

Sebanyak lima pasukan berentap pada pertandingan tersebut melibatkan penyertaan pemain berusia dalam lingkungan 16 hingga 40 tahun.
 

  • oleh
  • Advertisement