Anda di sini

Sarawak tetapkan zakat fitrah RM7 untuk tahun ini

Advertisement
Abang Mohd Shibli (duduk, dua kiri) pada sidang media di Sibu, hari ini.
Abang Mohd Shibli (duduk, dua kiri) pada sidang media di Sibu, hari ini.

SIBU: Jabatan Mufti Negeri Sarawak telah menetapkan kadar zakat fitrah untuk negeri Sarawak bagi tahun 1444H/2023M sebanyak RM7 setiap seorang.

Pengurus Besar Tabung Baitumal Sarawak (TBS) Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata, TBS menyediakan pelbagai kaedah pembayaran termasuk di semua kaunter TBS dan melalui 783 amil di seluruh Sarawak.

"Bayaran zakat fitrah juga boleh dibayar secara dalam talian melalui portal rasmi 'Baitulmal Kamek' dan Aplikasi TBS. 

"Selain itu, melalui perbankan dalam talian seperti Maybank2U, Maybank QRPay, Bank Muamalat QRPay, MyEG dan SnapNPay dan Sarawak Pay," ujarnya pada sidang media di Kompleks Islam Sarawak Sibu di sini, hari ini.

Beliau berkata, kadar zakat fitrah itu tidak banyak beza dengan negeri-negeri lain.
"(Ada) negeri mempunyai tiga kadar (zakat fitrah) tetapi kita di Sarawak hanya RM7 seorang," katanya.

Abang Mohd Shibli memberitahu, pada tahun lepas TBS mengutip sebanyak RM5.7 juta daripada zakat fitrah di Sarawak.

"Pada tahun ini, kita menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM6 juta. Ada naik sedikit kerana bila keluarga bertambah anak walaupun umur satu hari, satu bulan tetap akan dikira sebagai tambahan," jelasnya.

Beliau menambah, jumlah kutipan zakat fitrah dan zakat-zakat lain di Sarawak pada tahun lalu adalah sebanyak RM115.53 juta.

Sementara itu, menyentuh tentang Hari Bersama Asnaf di sini, Abang Mohd Shibli memberitahu, pelbagai aktiviti telah diadakan termasuk program 'Kembali Ke Sekolah' melibatkan 160 penerima, bantuan Kasih Kenyalang (140 penerima) dan sebagainya melibatkan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM74,800.

"Ini kali kedua kita adakan di Sibu, kita juga telah buat di Kuching dan Miri di mana kawasan terletaknya Kompleks Islam kami," ujarnya.

Hadir sama ialah Timbalan Pengurus Besar TBS Sulaiman Mahili, Ketua Bahagian TBS Sibu Siti Azliyani Jasini serta pegawai-pegawai kanan TBS yang lain.
 

  • oleh
  • Advertisement