Anda di sini

Sarawak perlu pelan induk saliran untuk tangani banjir kilat: Abang Johari

Advertisement
Abang Johari bercakap pada sidang media di Pusat Konvensyen Penview (PCC) hari ini. Turut kelihatan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah. - Gambar Muhammad Rais Sanusi
Abang Johari bercakap pada sidang media di Pusat Konvensyen Penview (PCC) hari ini. Turut kelihatan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Pelan induk standard mengenai saliran diperlukan untuk menangani masalah banjir kilat yang kerap berlaku ketika hujan berterusan khasnya di bandar-bandar utama di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau sudah mengumumkan kajian menyeluruh dibuat mengenai sistem saliran, tetapi ia berkehendakkan dana yang besar. 

"Pada masa ini kita bergantung kepada geran daripada persekutuan dan apa yang kita perlu lakukan ialah untuk mempunyai pelan induk standard mengenai saliran dan ia boleh mengambil masa lima hingga 10 tahun," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Wanita 2023 di Pusat Konvensyen Penview (PCC) di sini, hari ini. 

Abang Johari berkata, beliau pernah ke Singapura dan mendapati penempatan Ang Mo Kio di negara itu tidak banjir meskipun terletak di sungai. 

Ini kerana Singapura menggunakan konsultan dari Sweden, justeru beliau telah meminta Menteri Kesihatan Awam, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian agar menggunakan konsultan tersebut. 

Dalam perkembangan lain, Abang Johari berkata beliau bakal mengumumkan sesuatu mengenai kejayaan loji proto Sarawak dalam mengeluarkan bahan api bio dalam tempoh dua bulan akan datang. 

Butiran mengenai perkara itu katanya, akan diketahui dua bulan lagi dan yang pasti ia akan mengubah seluruh dimensi ekosistem negeri ini. 

Beliau katanya, juga akan berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pendekatan Sarawak dalam membangunkan industri tenaga hijaunya. 

"Beliau (Perdana Menteri) menghubungi saya ketika menunaikan umrah bertanyakan mengenai sempadan dan industri-industri yang memasuki Sarawak. 

"Sebab hala tuju ekonomi kita nampaknya lain, kita agak ke hadapan dari segi mitagasi karbon dan langkah kita ke arah tenaga hijau. 

"Mungkin beliau mahu mengetahui lebih mengenainya," katanya sambil menambah perjumpaan dengan Perdana Menteri itu akan berlangsung malam esok. 

Abang Johari juga berkata, beliau telah diundang untuk menyampaikan ucapan sempena persidangan mengenai tenaga di Bali, Indonesia selepas Hari Raya Aidilfitri.
 

  • oleh
  • Advertisement