Anda di sini

Pemandu maut, kereta bertembung pacuan empat roda

Advertisement
 Keadaan kedua-dua kenderaan yang remuk selepas terlibat dalam kemalangan.
REMUK: Keadaan kedua-dua kenderaan yang remuk selepas terlibat dalam kemalangan.

LAHAD DATU: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di KM 71, Jalan Lahad Datu-Tungku, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, mangsa berumur 51 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah kereta bertembung dengan pacuan empat roda.

Katanya, hasil siasatan mendapati, kereta terbabit bergerak dari arah Lahad Datu menuju ke Tungku, manakala pacuan empat roda dari arah bertentangan.

“Bagaimanapun, kereta yang dipandu mangsa bersama penumpangnya lelaki berumur 42 tahun hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan, sebelum bertembung dengan pacuan empat roda berkenaan.

“Pemandu kereta terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan, manakala penumpangnya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Lahad Datu oleh pihak polis untuk proses bedah siasat.

“Siasatan awal mendapati, kedua-dua pemandu terbabit tidak disyaki dipengaruhi dadah atau alkohol, namun sampel darah telah diambil untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Rohan menasihatkan kepada pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada serta sentiasa mengamalkan sikap sabar ketika memandu.

  • oleh
  • Advertisement