Anda di sini

MoA antara SAI, Swinburne satu lagi inisiatif kelestarian alam sekitar

Advertisement
Md Nasir dan Wong bertukar-tukar dokumen MoA sambil disaksikan Dr Hazland (empat kanan), Abang Abdul Karim (tiga kanan) serta yang lain. - Gambar Chimon Upon
Md Nasir dan Wong bertukar-tukar dokumen MoA sambil disaksikan Dr Hazland (empat kanan), Abang Abdul Karim (tiga kanan) serta yang lain. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Sebuah syarikat tempatan iaitu Sar-Alam Indah (SAI) Sdn Bhd menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Universiti Teknologi Swinburne Sarawak untuk projek penyelidikan industri bertajuk 'Kadar Pengumpulan Enap Cemar dan Ciri-Ciri Tangki Septik.'

Mewakili syarikat untuk menandatangani MoA ialah Pengarah SAI Sdn Bhd Kapt Md Nasir Md Zain manakala Swinburne Innovation Malaysia dan pengarah projek diwakili Profesor Wallace Wong.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MEESTY) Dr Hazland Abang Hipni dan Pengarah SAI Sdn Bhd Dato Sri Abang Abdul Karim Abang Openg.

Dr Hazland berkata, usaha SAI untuk melaksanakan projek penyelidikan industri dengan kerjasama Universiti Teknologi Swinburne Sarawak adalah satu lagi bukti yang menunjukkan kelestarian alam sekitar negeri memerlukan usaha kolektif daripada kedua-dua sektor awam dan swasta.

"Inisiatif SAI untuk sentiasa menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pencarian teknologi pengurusan air sisa daripada pakar global serta usaha untuk mengkaji bagaimana enap cemar septik yang dirawat ditukar kepada 'bio-fertiliser' sememangnya amat dipuji," katanya ketika berucap sebelum menyaksikan majlis menandatangani MoA tersebut di sini, hari ini.

Terdahulu, Abang Abdul Karim berkata SAI akan menyumbang RM200,000 untuk membiayai penyelidikan berkenaan sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

"Lebih penting, adalah menjadi harapan agar data yang dikumpul daripada penyelidikan ini dapat digunakan untuk membantu lagi pengurusan dan penggubalan dasar bagi pengurusan air sisa di Sarawak.

"Apa yang telah dicapai oleh SAI sejak dua dekad lalu mungkin hasil kerjasama dan sokongan erat daripada pelbagai pihak berkepentingan," katanya.

Beliau berkata, SAI telah menguruskan air sisa melalui pengendalian dan pengurusan loji rawatan enap cemar septik di Kuching, Sibu dan Miri sejak 20 tahun lalu apabila mereka diberi kepercayaan untuk menguruskan Loji Rawatan Enap Cemar Matang (SSTP) oleh Sarawak Incorporated Sdn Bhd.
 

Advertisement