Anda di sini

Media dekatkan KKDW dengan masyarakat luar bandar: Rubiah

Advertisement
Rubiah (tiga kiri), Shuhaimi (dua kiri) serta yang lain pada majlis Santai Bersama Media di Kuching, hari ini.
Rubiah (tiga kiri), Shuhaimi (dua kiri) serta yang lain pada majlis Santai Bersama Media di Kuching, hari ini.

KUCHING: Media memainkan peranan penting sebagai penghubung yang mendekatkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan masyarakat luar bandar.

Timbalan Menterinya Datuk Rubiah Wang berkata, ia membantu menerusi liputan dan kupasan yang diterbitkan berkaitan isu-isu pembangunan luar bandar yang relevan dan konsisten sepanjang tahun. 

"Adalah menjadi harapan saya agar hubungan baik yang telah terbina dan terjalin sesama kita ini dapat kekal berpanjangan, dalam kita mengisi peranan masing-masing membentuk 'nation building' yang lebih bermakna dan menjanjikan kemakmuran. 

"Tiada siapa boleh menafikan peranan wartawan dan media massa dalam pembangunan dan pemodenan negara," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan berkata demikian ketika berucap pada majlis Santai Bersama Media yang turut dihadiri Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) Ronnie Teo dan Setiausaha Akhbar kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Shuhaimi Mohamed di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Kota Samarahan itu berkata, media massa memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk 'mindset' dan corak pemikiran masyarakat terutama golongan sasar.

Katanya, kecekapan dan keberkesanan sesebuah organisasi perlu diambil kira sebagai salah satu elemen penting dalam menentukan tajuk setiap daripada berita yang bakal diterbitkan.

"Tajuk yang dibentuk tidak seharusnya hanya berpandukan isu-isu semasa dan kontroversi semata-mata.

"Namun kita juga perlu mengetengahkan serta menormakan masyarakat dengan hidangan berita-berita yang bersifat mendidik seperti kisah kejayaan pelaksanaan projek-projek dan program-program khususnya yang telah dilaksanakan oleh kerajaan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata melalui penulisan, mereka dapat mengubah pemikiran masyarakat malah kekuatan yang ada pada ketajaman penulisan mereka boleh menjatuhkan atau membangunkan sesebuah negara.

Rubiah berkata, perkembangan pesat rangkaian telekomunikasi global dan ledakan teknologi maklumat masa kini amat ketara dirasai setelah dunia melangkah masuk ke dalam alaf baharu.

"Fenomena globalisasi dan dunia tanpa sempadan telah mendedahkan masyarakat kepada suatu revolusi maklumat yang melangkaui sempadan sehingga mampu mengubah dan mencorak sistem pentadbiran dunia dan budaya masyarakat global.

"Ditambah pula dengan industri media cetak, elektronik dan media sosial yang kian berkembang, media massa menjadi pelengkap kepada rangkaian komunikasi hari ini.

"Malah, Internet dan media sosial juga sudah diiktiraf sebagai satu sumber penting dalam pengumpulan dan penyebaran maklumat," katanya.

Justeru katanya, tidak ada sesiapa yang dapat menafikan kuasa yang ada pada media massa sebagai sebuah institusi sosial yang menjadi penghubung antara pemerintah dan rakyat. 
 

  • oleh
  • Advertisement