Anda di sini

Main cinta di alam maya, suri rumah rugi lebih RM126,000

Advertisement
 

KANOWIT: Seorang suri rumah kerugian lebih RM126,000 selepas bermain cinta di alam maya dengan seorang jejaka yang dikenalinya melalui sebuah laman sesawang.

Ketua Polis Daerah Kanowit DSP Tega Bilong berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa yang juga wanita tempatan yang sudah berumah tangga.

"Berdasarkan laporan, mangsa berusia 45 tahun terbabit mula berkenalan dengan 'James Chong' dari Amerika Syarikat pada awal Februari lalu sebelum suspek mengambil kesempatan untuk merencanakan taktik tipu helahnya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tega berkata, lelaki tersebut telah menghubungi pengadu memaklumkan bahawa akan mengirim hadiah berupa barang kemas dan wang tunai dalam matawang Amerika Syarikat yang dihantar melalui pos dan mangsa berasa teruja dengan pemberian tersebut.

“Mangsa kemudian dihubungi suspek yang memperkenalkan diri dari pihak kargo KL meminta pengadu membuat pembayaran ‘pelepasan cukai’ kerana kandungan bungkusan mempunyai barang kemas dan wang tunai yang banyak,” katanya.

Tanpa meragui 'James,' pengadu telah membuat pembayaran secara berperingkat ke dalam satu akaun bank tempatan berjumlah RM126,320 melalui 13 kali transaksi pemindahan wang dari 20 Januari hingga 7 Mac.

Tega berkata, mangsa berasa dirinya diperdaya apabila panggilannya telah disekat lalu membuat laporan polis di Balai Polis Kanowit.

“Kes telah dirujuk ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPD Sibu dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terperdaya dan sentiasa berwaspada dengan warga maya atau kenalan baharu yang ingin menjalinkan hubungan persahabatan atau bercinta di media sosial, terutama yang menjanjikan hadiah sebagai tanda sayang.

Orang ramai boleh membuat semakan dengan balai polis terdekat atau membuat semakan di http://semakmule.rmp.gov.my, CCID Infoline di talian 013-2111222, CCID Response Centre di talian 03-26101559/03-26101599, Facebook CyberCrimeAlertRMP dan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.
 

  • oleh
  • Advertisement