Anda di sini

Liga M3 dijenamakan semula sebagai Liga Kejuaraan MBSB Bank

Advertisement
Majlis menandatangani perjanjian penajaan Mohd Yusoff (dua kiri) mewakili AFL dan MBSB Bank diwakili Nor Azam (dua kanan) disaksikan Abang Zulkarnain (kiri) di Stadium Sarawak hari ini.
Majlis menandatangani perjanjian penajaan Mohd Yusoff (dua kiri) mewakili AFL dan MBSB Bank diwakili Nor Azam (dua kanan) disaksikan Abang Zulkarnain (kiri) di Stadium Sarawak hari ini.

Oleh Hamkar Sarbinee

KUCHING: Liga M3 dijenamakan semula sebagai Liga Kejuaraan MBSB Bank sekali gus bakal mengangkat semula pertandingan bola sepak amatur dalam arena sukan bola sepak kebangsaan di negara ini.

Penjemanaan liga semi-profesional itu dilaksanakan menerusi perjanjian penajaan yang dimeterai antara Liga Bola Sepak Amatur (AFL) dengan MBSB Bank di sini hari ini.

Ia diumumkan ketika majlis perjanjian diadakan di Stadium Sarawak di sini di mana AFL diwakili oleh Pengerusinya, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi manakala MBSB Bank diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Nor Azam M. Taib.

Mohd Yusoff dalam ucapannya berkata, kerjasama dilaksanakan itu melambangkan penerimaan komuniti perniagaan terhadap sukan nombor satu dunia tersebut.

"Kerjasama ini membuktikan liga tempatan bertaraf semi-profesional dan amatur mempunyai nilai tersendiri di mana pihak bank menerima sukan bola sepak di peringkat amatur.

"Ini menjadikan imej MBSB Bank semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat di negara ini.

"Sehubungan itu, dengan kerjasama ini saya berharap supaya dapat membuka mata terhadap syarikat di luar sana memberi perhatian terhadap pembangunan bola sepak," katanya semasa Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan Antara AFL dan MBSB Bank di Stadium Sarawak di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Yusoff turut merakamkan penghargaan atas jalinan kerjasama dengan MBSB Bank untuk kebaikan bersama.

"Majlis seperti ini sekali gus menjadi detik bersejarah khasnya terhadap liga semi-profesional di Malaysia dan usaha AFL menjalinkan kerjasama dengan syarikat besar kini menjadi kenyataan," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank Datuk Nor Azam M. Taib menyuarakan bahawa pihaknya sentiasa terbuka luas untuk bekerjasama dengan AFL.

"Ini kerana kami yakin sukan bola sepak sentiasa mendapat tempat di hati rakyat dan kami berbangga penglibatan bersama AFL demi menyokong pembangunan bola sepak negara.

"Dengan penglibatan MBSB Bank, kami berharap menyemarakkan aksi di padang bola sepak dan kami menyokong merealisasikan hasrat pengurusan AFL melihat liga ini muncul sebagai salah satu liga terunggul," katanya.

Mengulas mengenai Stadium Sarawak menjadi tumpuan memeterai perjanjian itu, Nor Azam berkata Sarawak merupakan negeri memberi penekanan serius dalam pembangunan bola sepak amatur.

"Sarawak negeri serius terhadap pembangunan bola sepak di peringkat amatur dan akar umbi menerusi pelaksanaan pelbagai kejohanan peringkat daerah dikawal selia oleh AFL dan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS)," jelasnya.

Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah MBSB Bank Datuk Azrulnizam Abdul Aziz, Naib Presiden FAM Datuk Posa Majais, Presiden FAS Abang Zulkarnain Abang Abdul Rahman dan tetamu lain.
 

Advertisement