Anda di sini

Lebih RM900 juta peruntukan daripada KKDW tahun ini disalur kepada Sarawak

Advertisement
Rubiah bersalaman dengan pengamal media yang hadir sempena majlis Santai Bersama Media di Kuching, hari ini.
Rubiah bersalaman dengan pengamal media yang hadir sempena majlis Santai Bersama Media di Kuching, hari ini.

KUCHING: Lebih RM900 juta peruntukan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada tahun ini disalurkan kepada Sarawak.

Timbalan Menterinya Datuk Rubiah Wang berkata, ia untuk melaksanakan 38 projek baharu bagi pembinaan pelbagai jenis prasarana di negeri ini.

Antaranya kata beliau, Jalan Perhubungan desa (JPD), Projek Ameniti Sosial (PAMS), Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) serta 203 projek sambungan, menjadikan kos keseluruhan 241 projek mencecah RM13.49 bilion. 

"Bukan itu sahaja, KKDW tekad dalam memastikan wilayah Sarawak dan juga Sabah mendapat kemakmuran dari sudut ekonomi khasnya menerusi inisiatif estet padi di Sri Aman dengan keluasan kira-kira 5,000 hektar yang menjadikannya sebagai jelapang padi baharu bagi Malaysia. 

"Usaha ini akan dilaksanakan oleh agensi di bawah KKDW iaitu FELCRA.

"Ini juga merupakan sebahagian daripada usaha kita untuk mendukung hasrat kerajaan dalam memperkasakan tindakan untuk keterjaminan makanan dan sebagai salah sebuah kementerian yang mempunyai peranan serta tanggungjawab terhadap kawasan desa, kita juga terlibat secara langsung dalam usaha ini," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan berkata demikian ketika berucap pada majlis Santai Bersama Media yang turut dihadiri Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) Ronnie Teo dan Setiausaha Akhbar kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Shuhaimi Mohamed di sini, hari ini.

Menurut Rubiah, KKDW pada tahun ini telah mendapat peningkatan peruntukan dalam Belanjawan 2023 iaitu sebanyak RM510 juta atau 10 peratus menjadikan jumlah peruntukan kepada KKDW sebanyak RM11.04 bilion berbanding tahun lalu. 

Dengan peruntukan itu katanya, kementerian tekad dalam memfokuskan pembangunan yang seimbang antara dua wilayah iaitu Semenanjung Malaysia dengan Sarawak dan Sabah menerusi pengagihan peruntukan yang besar khususnya kepada kedua-dua wilayah di Malaysia Timur itu. 

Mengulas lanjut, Rubiah berkata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KKWD, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa lawatan ke Kuching beberapa minggu lepas menyatakan kerajaan bersetuju membaik pulih jalan balak di Sarawak.

Katanya, ia melibatkan jalan sepanjang 578 kilometer yang mana telah dipertanggungjawabkan kepada KKDW.

"Kebanyakan projek ini berada di kawasan pedalaman dan utara Sarawak seperti di pedalaman kawasan Miri, Limbang serta Belaga. 

"Kementerian menyasarkan kesemua projek tersebut disiapkan sebelum Krismas tahun ini," tegasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement