
KUCHING: Kerajaan negeri akan terus meningkatkan usaha untuk memastikan semua air sisa dirawat, kata Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MEESTY) Dr Hazland Abang Hipni.
Beliau berkata, sistem pengurusan air sisa yang betul adalah penting kerana ia merupakan sebahagian daripada kitaran air.
"Kerajaan Sarawak sememangnya telah menyediakan sistem pengurusan air sisa dan sanitasi bagi memastikan sumber air kita dilindungi secara berterusan.
"Air adalah penting bukan sahaja sebagai keperluan asas rakyat, malah juga penting untuk ekonomi Sarawak," ujarnya pada majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Sar-Alam Indah (SAI) Sdn Bhd dan Universiti Teknologi Swinburne Sarawak di sini, hari ini.
Kedua-duanya menandatangani MoU untuk menjalankan projek penyelidikan industri bertajuk 'Kadar Pengumpulan Enap Cemar dan Ciri-Ciri Tangki Septik.'
Dr Hazland menegaskan ekonomi Sarawak memerlukan air untuk berkembang, contohnya dalam industri pembuatan dan pelancongan.
Selain itu katanya, dengan adanya air Sarawak akan dapat menceburi penjanaan tenaga bersih, tenaga hidro dan hidrogen yang semuanya memerlukan air.
"Oleh itu, air adalah penting untuk keperluan rakyat Sarawak dan pertumbuhan ekonomi," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut itu berkata, air sisa yang tidak dirawat akan mencemarkan laluan air, sekali gus menjejaskan kualiti air untuk kegunaan manusia dan ekosistem akuatik sungai.
Selain itu katanya, ia juga membolehkan penyakit bawaan air seperti taun, kepialu dan Hepatitis A merebak dengan mudah.
"Memelihara sumber air, pengurusan sanitasi yang mencukupi dan sumber kebersihan yang betul mengurangkan penyakit dan kematian akibat penyakit dan membawa kepada peningkatan kesihatan dan pembangunan sosioekonomi.
"Disebabkan perubahan iklim yang teruk, corak cuaca yang melampau dan juga populasi yang semakin meningkat, ketersediaan air bersih untuk diminum dan kelangsungan hidup manusia semakin berkurangan.
"Oleh itu, adalah penting kita mengambil segala usaha untuk memastikan apa jua sumber air yang kita miliki mesti terpelihara daripada pencemaran terutamanya pencemaran oleh air sisa dan enap cemar septik yang tidak dirawat," katanya.