Anda di sini

Kementerian berhasrat hasilkan direktori Industri Kreatif Sarawak: Snowdan

Advertisement
Snowdan (tengah) dan Sherrina (kiri) bersedia untuk bersoal jawab dan mendengar pandangan para peserta Townhall Industri Kreatif di Miri hari ini.
Snowdan (tengah) dan Sherrina (kiri) bersedia untuk bersoal jawab dan mendengar pandangan para peserta Townhall Industri Kreatif di Miri hari ini.

MIRI: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berhasrat untuk menghasilkan satu direktori atau 'Yellow Pages,' melalui siri sesi townhall yang diadakannya di seluruh negeri. 

Timbalan Menterinya Datuk Snowdan Lawan berkata melalui direktori ini nanti, kementerian itu akan menghimpunkan semua maklumat mengenai penggiat industri kreatif yang ada di Sarawak. 

"Dengan adanya direktori sedemikian, ia akan dapat menghubungkan semua yang terlibat dalam industri kreatif dan juga membolehkan industri yang berminat mengetahui apa yang ditawarkan oleh Sarawak. 

"Sebagai contoh, ada kru perfileman dari luar negara yang ingin mengetahui kuliner tradisional Sarawak yang unik tetapi belum begitu diketahui.

"Maka menerusi direktori Industri Kreatif Sarawak, kru tersebut akan dapat mengena lpasti dan menghubungi pihak pengiat kuliner tanpa melengahkan masa," ujar beliau.

Melalui sesi Townhall yang diadakan itu juga katanya, kementeriannya berharap mendapat input atau komen para peserta mengenai cara dan kaedah yang boleh mengembangkan dan membawa industri kreatif Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi. 

Beliau memberitahu demikian semasa merasmikan Sesi Townhall Industri Kreatif di sebuah hotel terkemuka di Miri hari ini, iaitu yang kedua selepas townhall pertama diadakan di Kota Samarahan pada 25 Februari lepas. 

"Tujuan kementerian kami mengadakan sesi townhall adalah untuk mewujudkan kefahaman mengenai industri kreatif di Sarawak," katanya lagi. 

Dalam perkembangan berkaitan, Snowdan berkata Sarawak mempunyai 34 etnik dengan masing-masing mempunyai seni, budaya dan warisan yang unik dan tersendiri, menjadikan negeri ini memiliki potensi yang amat besar dalam industri kreatif untuk diketengahkan bukan sahaja peringkat nasional, malah global. 

Beliau berkata, ia juga menjadikan Sarawak tidak pernah kekurangan sumber seni, budaya dan warisan, yang menunggu untuk diusahakan.

"Justeru, pada tahun lepas, kerajaan Sarawak melalui kementerian kami telah menyokong 80 program yang berasaskan seni, budaya dan warisan di bawah Dana Mudahcara untuk Seni, Budaya dan Warisan, bagi merangsang pemulihan sektor warisan, seni dan budaya Sarawak selepas pandemik COVID-19.

"Kami gembira melihat banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penggiat seni mengambil inisiatif untuk memohon dan menjayakan program dan aktiviti yang berfaedah dan bermakna. 

"Program dan aktiviti seumpama telah dapat mengukuhkan kesedaran di kalangan orang ramai bahawa seni, budaya dan warisan masih merupakan sebahagian yang amat penting dalam kehidupan kita. Malah program-program ini boleh diperkembangkan lagi ke tahap yang lebih tinggi. 

"Walaupun Dana Mudahcara untuk Kesenian, Kebudayaan dan Warisan hanya untuk tahun 2022, di bawah kementerian kami ada satu lagi geran yang boleh dipohon iaitu Geran Acara. Geran Acara juga menyokong program dan aktiviti berkaitan seni, budaya dan warisan," tambah beliau. 

Turut hadir menyaksikan sesi townhall berkenaan ialah ADUN Telang Usan merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak Dennis Ngau dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datu Sherrina Hussaini.
 

  • oleh
  • Advertisement