Anda di sini

Had tempoh jawatan datuk bandar, pengerusi PBT bukan atas kehendak menteri: Penguang

Advertisement
 

MIRI: Keputusan untuk mengehadkan tempoh jawatan datuk bandar atau pengerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini dan ahli-ahli majlis kepada sembilan tahun bukan dibuat atas kehendak Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dna Kerajaan Tempatan. 

Timbalan Menterinya Datuk Dr Penguang Manggil (gambar) yang menepis dakwaan Prof Datuk Jayum Jawan dalam satu laporan berita portal hari ini berkata, keputusan pelantikan dan tempoh jawatan berkenaan adalah keputusan kabinet. 

"Keputusan itu juga terpakai bagi jawatan pengerusi dan ahli lembaga pengarah bagi badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kecuali bagi pelantikan yang dibuat berdasarkan keperluan berkanun iaitu ordinan badan berkenaan masing-masing dan sebagainya," jelas beliau. 

Menurut Penguang, jawatan datuk bandar, pengerusi serta wali kota bagi semua PBT di Sarawak dilantik oleh empat parti komponen dalam kerajaan GPS dan mewakili semua strata serta segmen komuniti dalam bidang kuasa PBT masing-masing. 

"Perlu diingat bahawa kita mempunyai Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan, serta mengikut lunas undang-undang dan peraturannya sendiri dan kita tidak terikat dengan Akta Pihak Berkuasa Tempatan yang sedang dikuatkuasakan di Semenanjung Malaysia. 

"PBT di Semenanjung Malaysia hanya meliputi bandar atau kawasan bandar dan di sesetengah kawasan pinggir bandar mereka," jelas beliau. 

Penguang memberitahu lagi, PBT di Semenanjung Malaysia juga  mempunyai autonomi penuh termasuk bidang kuasa merancang ke atas kawasan di bawah kawalan mereka, manakala kawasan luar bandar di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar. 

Walau bagaimanapun di Sarawak katanya, semua 26 PBT yang sedia ada di negeri ini ditadbir oleh Ordinan Pihak Berkuasa Tempatannya sendiri dan peruntukan ordinan di negeri ini juga berbeza daripada Akta PBT yang diguna pakai di Semenanjung Malaysia. 

Dalam sebuah portal berita hari ini, Dr Jayum yang juga saintis politik Universiti Putra Malaysia (UPM) dipetik sebagai berkata, rakyat Sarawak berhak lebih daripada sekadar perubahan 'kosmetik.'

Katanya, perubahan (dalam barisan ahli majlis dan datuk bandar atau pengerusi PBT) mesti menyeluruh, dan berdasarkan kriteria tertentu dan bukan hanya berdasarkan kehendak dan kemahuan menteri penyandang (Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan) untuk membuat keputusan.

Beliau berkata, perubahan sebenar perlu mengambil kira bahawa pengerusi dan anggota PBT perlu mendapat pengesahan penduduk tempatan. 

Pada Khamis lalu, Penguang mengesahkan bahawa jawatan datuk bandar, pengerusi majlis dan wali kota serta timbalannya yang berkhidmat lebih sembilan tahun secara automatik akan digantikan dengan muka baharu.

Beliau berkata, tempoh jawatan ahli-ahli majlis sedia ada (termasuk datuk bandar dan pengerusi) akan tamat pada 31 Mac 2023 dan mereka yang baru dilantik akan mengangkat sumpah pada awal April depan. 
 

  • oleh
  • Advertisement