Anda di sini

Dua lelaki larikan kereta dari bilik pameran ditahan sebaik mendarat di LTAKK

Advertisement
 Zaidi menunjukkan kenderaan pacuan empat roda yang berjaya dirampas semula pihak polis.
RAMPAS: Zaidi menunjukkan kenderaan pacuan empat roda yang berjaya dirampas semula pihak polis.
 Polis kini sedang memburu seorang lagi rakan sejenayah suspek yang berasal dari Kampung Darau, Manggatal.
DIKEHENDAKI: Polis kini sedang memburu seorang lagi rakan sejenayah suspek yang berasal dari Kampung Darau, Manggatal.

KOTA KINABALU: Dua lelaki yang berfoya-foya selepas melarikan dua kenderaan pacuan empat roda dari bilik pameran (showroom) di sini selain memecah masuk tiga rumah di Selangor ditahan pihak polis sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata Kedua-dua suspek yang tersenarai sebagai penjenayah dikehendaki (Wanted Person) berjaya ditahan di pintu ketibaan selepas menaiki penerbangan dari Semenanjung pada jam 8 malam 15 Mac lalu.

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek warga tempatan bersama seorang lagi rakan sejenayah memecah masuk bilik pameran kenderaan selepas memecahkan dinding kaca premis terbabit di Jalan Lintas Kepayan 8 Mac lalu.

“Kedua-dua suspek kemudiannya memgambil kunci kenderaan dan melarikan dua kenderaan pacuan empat roda sebelum kejadian dilaporkan kepada pihak polis oleh penolong pengurus kedai pada ham 7.30 pagi hari sama,” katanya.

Mohd Zaidi berkata bertindak dengan kejadian satu task force ditubuhkan dan hasil siasatan serta risikan berterusan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya menahan dua suspek utama berumur 36 dan 39 tahun di pintu ketibaan KKIA.

"Ketika tangkapan dibuat, polis turut merampas sejumlah barangan termasuk 11 telefon bimbit pelbagai jenis, 10 utas jam tangan pelbagai jenama, sebuah komputer riba, wang tunai yang dipercayai hasil kegiatan jenayah pecah rumah yang dilakukan suspek di Sabah dan Semenanjung. 

“Dengan dipandu arah oleh suspek, polis turut menemukan semula sebuah kenderaan yang ditinggalkan di kawasan terbuka di Kampung Darau serta sebuah kereta lagi di Kolombong.

“Polis turut menahan seorang lelaki yang juga pembeli kepada salah sebuah kereta curi terbabit yang dijual dengan harga RM10,000,” katanya.

Beliau berkata semasa ditemukan, kenderaan terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu selain rim tayar sudah diubah ke kenderaan lain milik ahli keluarga oleh pembeli bagi mengelakkan dikesan pihak polis.

Tambahnya pembeli berumur 28 tahun itu turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek bertindak ke melarikan diri ke Selangor sebaik melarikan kenderaan terbabit dan menjual salah sebuah daripadanya untuk mendapatkan wang.

“Suspek kemudiannya memecah masuk tiga buah rumah di Selangor sepanjang berada di sana sebelum balik ke Sabah beberapa hari selepas itu.

“Polis berjaya mengesan nama suspek di bahagian pendaftaran lapangan terbang sebelum menahan kedua-dua suspek sebaik tiba di LTAKK,” katanya.

Katanya kedua-dua suspek juga mengaku terbabit dalam beberapa kes pecah rumah di Sabah yang membabitkan satu kes di daerah ini, dua kea di Keningau dan tiga kes di Selangor dan Perak.

"Kedua-dua suspek terbabit masing-masing mempunyai 18 dan 19 rekod jenayah lampau dan tersenarai dalam orang dikehendaki selain baharu selesai tempoh pengawasan polis manakala hasil ujian saringan awal dua suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine. 

"Dengan tertangkapnya dua suspek itu juga, polis berjaya menyelesaikan kes pecah kedai pameran kenderaan yang disusuli dengan penemuan semula dua kenderaan yang dilarikan suspek dengan anggaran kerugian RM350,000," katanya.

Katanya polis kini sedang memburu seorang lagi rakan sejenayah suspek yang berasal dari Kampung Darau, Manggatal. 

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement