Anda di sini

Dasar reformasi industri, pelaburan dan perdagangan kunci cipta pekerjaan bergaji tinggi

Advertisement
Gambar fail Bernama
Tengku Zafrul. -Gambar fail Bernama

Oleh Tengku Zafrul 
 
GANDINGAN kestabilan politik Kerajaan Perpaduan lebih kurang 100 hari yang lalu, dengan prospek suram kebanyakan pasaran, telah menarik semula perhatian komuniti perniagaan dan pelabur asing kepada Malaysia.

Ini jelas terbukti terutamanya semasa lawatan saya ke luar negara untuk mempromosi Malaysia sejak dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada Disember 2022.

Dari Jakarta ke Davos, Abu Dhabi ke Milan, serta Singapura ke Seoul untuk misi perdagangan dan pelaburan, kami disambut dengan penuh minat oleh pelabur semasa dan pelabur berpotensi. 

Sejak bertahun-tahun lagi, ramai pelabur antarabangsa amat berharap agar Malaysia kembali menjadi antara ekonomi berprestasi tinggi di ASEAN, bukan sekadar negara pertengahan yang terus merosot berbanding negara lain di ASEAN.

Syukur, prestasi ekonomi Malaysia yang cemerlang dengan pertumbuhan KDNK 8.7% untuk 2022 - kadar tertinggi di ASEAN tahun lalu - diganding dengan kadar pengangguran 3.6% pada Disember 2022 dan inflasi 3.2% (walaupun berhadapan tekanan inflasi global), menunjukkan bahawa prospek Malaysia perlu dipandang serius.

Angka-angka tersebut juga membuktikan keberkesanan dasar-dasar tindakan dan bantuan yang dilaksanakan semasa pandemik.  

Walaupun sesetengah komuniti perniagaan antarabangsa pernah memanfaatkan ekosistem pembuatan kos rendah, mereka juga faham bahawa ini tidak mampan dalam jangka masa panjang.

Lagipun, dengan inflasi global dan gangguan rantaian bekalan yang telah meningkatkan kos, Malaysia perlu bekerja keras untuk menawarkan faktor-faktor positif bagi operasi pelabur di Malaysia.

Cabaran untuk MITI dan agensi-agensi kami ialah untuk melaksanakan reformasi dasar agar Malaysia kekal relevan. 

Sejak menyertai MITI, saya berulang kali menegaskan kepada para pegawai MITI dan agensi, bahawa kita mesti merombak pendekatan strategik kita untuk menyelaraskan dasar-dasar perdagangan, perindustrian dan pelaburan jika kita mahu mencipta pertumbuhan masa hadapan dan meletakkan ekonomi kita pada landasan yang lebih mampan.

Selain rekod perdagangan kita (yang sangat penting kerana Malaysia adalah negara perdagangan), apa yang turut dipertaruhkan ialah masa depan PKS kita, pekerjaan berpendapatan tinggi untuk kebanyakan rakyat Malaysia dan kesejahteraan hidup keluarga mereka: ini adalah matlamat utama kami.

Untuk itu, keutamaan kami adalah: 


Pertama, untuk meningkatkan pertumbuhan perdagangan dan memastikan persekitaran perdagangan global yang mampan dan inklusif.


Dalam merangka Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), maklum balas daripada semua segmen masyarakat - kerajaan, sektor swasta, masyarakat sivil dan individu - akan diambil kira semasa menjalankan analisa kos-faedah.

Ini akan memastikan keputusan yang lebih cekap dapat diambil dan manfaat FTA adalah sejajar dengan matlamat sosioekonomi Malaysia seperti menyokong PKS, mengurangkan jurang luar bandar-bandar, dan memupuk pemerkasaan gender.

Pendek kata, rakyat kekal menjadi keutamaan dalam rundingan FTA baharu, termasuk RCEP dan CPTPP, di mana kita menjalinkan kerjasama erat dengan rakan kongsi perdagangan semasa dan baharu. 


Kedua, ESG dan pendigitalan adalah kunci untuk memastikan industri kita, terutamanya PKS, bersedia untuk menghadapi cabaran masa hadapan.


Jika kita abaikan ESG, akses pasaran bagi pengeksport dan perniagaan kita akan terjejas.

Untuk mengelakkan kemungkinan ini, MITI kini sedang menyediakan Rangka Kerja Kebangsaan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Industri (i-ESG), untuk sektor pembuatan menerapkan nilai-nilai ESG.

Ia terdiri daripada empat komponen, iaitu piawaian; sokongan kewangan dan insentif; pembinaan kapasiti; dan mekanisme pasaran, termasuk perdagangan dan penetapan harga karbon. 

Bercakap mengenai pendigitalan, saya pernah ditemu bual oleh RTM, dan dalam temu bual yang sama, mereka turut menjemput pengasas Claire Organics, Cik Louise Chu, seorang penerima geran kerajaan yang berjaya mendigitalkan dan mengembangkan perniagaannya semasa pandemik.

Terdapat banyak PKS seperti beliau yang mesti disokong secara digital untuk berkembang dan turut serta dalam ekonomi hijau, kerana PKS menyumbang 37.4% (bagi tahun 2021. Sumber: DOSM) kepada KDNK kita dan menggaji 47.8% (bagi tahun 2021. Sumber: DOSM) pekerja di Malaysia.

Pengembangan ekonomi masa depan kita juga bergantung pada keupayaan PKS untuk mengguna pakai dan menyesuaikan diri dengan teknologi hijau.


Ketiga, kita mesti menarik pelaburan berkualiti tinggi yang mencipta pekerjaan dan menggalakkan pelaburan semula.


Ekonomi global berubah dengan pantas, dan persaingan untuk pelaburan langsung asing (FDI) di rantau ASEAN amat sengit, jadi kita mesti mewujudkan persekitaran yang sangat kondusif, terutamanya untuk industri tumpuan dalam Dasar Pelaburan Baharu (NIP) kita, iaitu, E&E bernilai lebih tinggi, Peranti Perubatan, Farmaseutikal, Ekonomi Digital, Aeroangkasa, dan Bahan Kimia, serta sektor-sektor seperti EV, pusat data dan sekuriti makanan.

Malaysia juga perlu ditingkatkan dalam rantaian nilai sektor pembuatan dan perkhidmatan, agar kita dapat beralih kepada model ekonomi maju yang lebih berasaskan teknologi, dengan kompleksiti ekonomi yang lebih tinggi.


Keempat, MITI mesti memastikan Malaysia kembali meraih kedudukan sebagai destinasi pelaburan pilihan di Asia Tenggara.


Sejak Disember 2022, kami berusaha gigih mempromosi Malaysia sebagai negara yang stabil, pro-perniagaan, pro-pelaburan, dan pro-perdagangan.

Tetapi kita tahu janji-janji ini mesti ditepati dengan pembaharuan dasar yang baik, dan kemudahan menjalankan perniagaan.

Ini termasuk cadangan mewujudkan Pusat Sehenti melalui platform e-Gov MITI; menambah baik proses pensijilan Halal; mewujudkan ekosistem industri dan perkhidmatan yang berdaya saing; memastikan bekalan tenaga kerja berkemahiran untuk sektor-sektor utama; serta program peningkatan kemahiran untuk memenuhi keperluan industri. 

Saya juga telah berulang kali menekankan keperluan untuk menetapkan KPI yang sesuai dan memantau keberhasilan projek-projek utama.

Contohnya, bila bercakap tentang FDI dan pelaburan langsung domestik (DDI), kita mesti memantau dengan teliti, antara lainnya, bilangan pekerjaan dicipta, hasil cukai yang dijana, tahap pematuhan ESG dan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat sekitar.

Untuk menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan, kita mesti mengenal pasti dan menyelesaikan isu yang dihadapi pelabur, daripada keputusan untuk melabur, sehinggalah ke pengoperasian kemudahan mereka.

Secara peribadi, susah untuk saya terima tempoh waktu 24 bulan daripada tarikh keputusan untuk melabur ke bermulanya operasi perniagaan.

Kita boleh dan mesti berusaha lebih baik jika kita ingin terus menarik dan mengekalkan pelabur berkualiti tinggi! 

Logiknya mudah: pelaburan mewujudkan aktiviti ekonomi, yang mewujudkan perniagaan untuk PKS dan pekerjaan untuk rakyat kita.

Sebagai contoh, pelaburan diluluskan RM264.6 bilion untuk tahun 2022 dijangka mewujudkan 140,370 peluang pekerjaan baharu, pekerjaan yang membayar gaji yang bermaruah untuk rakyat kita.

Dengan pasukan MITI dan agensi-agensinya yang amat berkebolehan, serta strategi yang tepat dan pelaksanaan yang dipantau rapi, saya yakin Malaysia mampu mencapai sasarannya dalam memupuk industri, mengembangkan perdagangan dan menarik pelaburan. 

Beberapa usaha awal kami sudah pun membuahkan hasil, melalui komitmen daripada syarikat multinasional utama seperti Tesla, Intel Corp, Amazon Web Services, syarikat induk Shopee - Sea Ltd, Kumpulan Yondr, INSEACT, Samsung Engineering, SKC, Lotte Fine Chemicals, Hyundai, COWAY, Lotte Energy Materials dan POSCO Holdings dalam beberapa bulan yang lepas.

Komitmen daripada syarikat-syarikat multinasional utama ini mengesahkan kepercayaan mereka terhadap potensi besar Malaysia.

Bagi MITI, ini adalah satu permulaan baharu, jadi tunggu dan lihat perkembangan seterusnya!

Advertisement