Anda di sini

Bot tunda dan tongkang sarat muatan balak ditahan di perairan Kuala Tatau

Advertisement
Kru bot tunda dan tongkang yang ditahan di perairan Kuala Tatau pada pagi Khamis.
Kru bot tunda dan tongkang yang ditahan di perairan Kuala Tatau pada pagi Khamis.

BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Bintulu menahan sebuah bot tunda dan tongkang sarat dengan muatan kayu balak yang berada dalam keadaan mencurigakan pada jarak 2.1 batu nautika dari Kuala Tatau pada pagi Khamis.

Pengarah Zon Maritim Bintulu Mohd Khairol Anuar Saad berkata, dalam operasi yang dijalankan sekitar jam 11.30 pagi itu, pasukan APMM mendapati tongkang berkenaan sarat dengan muatan kayu balak.

"Pemeriksaan yang dijalankan mendapati nakhoda kapal gagal mengemukakan borang kebenaran untuk memuat atau memunggah kargo ke atas vesel daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)," ujarnya.

Kru bot tunda dan tongkang yang ditahan di perairan Kuala Tatau pada pagi Khamis.
Kru bot tunda dan tongkang yang ditahan di perairan Kuala Tatau pada pagi Khamis.

Turut ditahan ujarnya, tujuh kru termasuk seorang nakhoda warganegara India, tiga warganegara Indonesia dan tiga kru warga tempatan yang kesemuanya lelaki berumur dalam lingkungan 26 hingga 65 tahun.

Kesemua kru berserta bot tunda dan tongkang kemudiannya diiringi ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.

"Kes akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana tiada barangan yang diangkut melalui air dari mana-mana tempat di Malaysia boleh didaratkan kecuali pada hari atau masa yang ditetapkan," tegas beliau.

Maritim Malaysia katanya, ingin mengingatkan komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi peraturan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.

Komuniti maritim juga diminta untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (0086-314 254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam.
 

  • oleh
  • Advertisement