
KUCHING: Projek Pembangugan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) tidak boleh ditangguhkan lagi melihat kepada insiden banjir kilat yang kerap berlaku ketika hujan lebat berterusan.
Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii (gambar) berkata, PLSB adalah salah satu usaha langkah panjang bagi menangani isu banjir dan beliau kerap mendesak mengenainya di Parlimen.
"Sebagai langkah pendek pula, Jabatan Meteorologi perlu mengeluarkan amaran awal untuk memberi amaran kepada orang ramai tentang hujan lebat yang luar biasa.
"Semakan di laman web mereka menunjukkan amaran hanya dikeluarkan pada jam 6.30 pagi.
"Ia sepatutnya lebih awal supaya orang ramai boleh membuat persediaan untuk sebarang kemungkinan," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah Dr Kelvin, perlu ada juga pembersihan sistem perparitan yang berterusan dan berkala terutamanya semasa musim tengkujuh untuk memastikan aliran keluar air yang betul.
Ini katanya, perlu berterusan terutamanya di kawasan yang terdedah kepada banjir kerana setiap kali air naik, kebanyakan longkang ini tersangkut dengan serpihan dan sampah sarap.
"Pasukan kami akan cuba membantu seberapa ramai keluarga terutamanya golongan miskin yang terjejas di kawasan kami.
"Pasukan kami juga akan terus berada di lapangan untuk memantau dan membantu mereka yang terjejas akibat banjir kilat.
"Kami juga merekodkan semua kawasan yang terlibat dan akan membuat laporan rasmi kepada PBT dan Kementerian Kerajaan Tempatan Sarawak," katanya.