Seorang maut, dua cedera dalam insiden di wilayah bersempadan dengan Ukraine

MOSCOW: Seorang maut dan dua lagi cedera di selatan Rusia pada Khamis dalam kebakaran yang memusnahkan Pejabat Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) di wilayah yang bersempadan dengan Ukraine, lapor beberapa agensi berita Rusia kelmarin.
Beberapa gambar yang diedarkan menerusi media sosial menunjukkan kebakaran besar memusnahkan sebuah bangunan di kawasan bandar yang membangun dengan asap hitam tebal berkepul-kepul naik ke udara akibat kebakaran itu.
“Perkhidmatan kecemasan telah dikerah, maklumat sedang disahkan,” kata pejabat media bagi perkhidmatan kecemasan di bandar Rostov-on-Don dalam komen yang disiarkan oleh agensi berita TASS.
Tiada komen lanjut daripada pihak berkuasa mengenai kebakaran dan perkhidmatan kecemasan masih belum memberikan penjelasan tentang punca kebakaran itu.
Terdapat beberapa insiden sabotaj yang dikaitkan dengan puak pemisah Ukraine di wilayah Rusia sejak Kremlin mengerahkan pasukan tentera ke Ukraine pada Februari tahun lepas.
Tiada komen segera dari Kiev mengenai kebakaran di selatan Rusia itu.
Bekas jurucakap bagi pemimpin Ukraine Volodymyr Zelensky mengedarkan gambar kebakaran di media sosial namun menyatakan Kiev tidak semestinya bertanggungjawab.
“Jangan segera menuduh Ukraine. Ia mungkin perbalahan politik tempatan atau satu provokasi,” kata Yulia Mendel di Twitter. — AFP