Anda di sini

Ahli Parlimen Tawau cadang wujudkan Lembaga Minyak Sawit Sabah

Advertisement
 Lo ketika memberikan soalan kepada menteri KPK pada siding Parlimen.
PARLIMEN: Lo ketika memberikan soalan kepada menteri KPK pada siding Parlimen.

TAWAU: Ahli Parlimen Tawau Lo Su Fui mencadangkan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menubuhkan Lembaga Minyak Sawit Sabah supaya industri sawit di negeri ini dapat diurus dengan lebih efisien.

Beliau berkata, hampir setiap tahun kerajaan menurunkan peruntukan untuk Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi memperkasakan industri ini termasuk aktiviti hiliran kelapa sawit di Sabah.

Namun katanya, usaha memperkasakan aktiviti hiliran itu masih tidak menunjukkan hasil dan Sabah masih hanya terkenal negeri menjual bahan mentah sawit sahaja.

“Sekiranya perkara ini terus berlaku, negara khususnya Sabah akan mengalami kerugian kerana hasil sawit tidak digunakan secara optimum.

“Justeru, saya mencadangkan supaya KPK menyokong cadangan untuk menubuhkan Lembaga Minyak Sawit Sabah dan menyalurkan terus dana kepada Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bertanya soalan kepada menteri KPK berkenaan agihan peruntukan untuk pembangunan industri hiliran pada sidang Parlimen, baru-baru ini. 

Menurutnya, penubuhan Lembaga Minyak Sawit Sabah dilihat dapat memainkan peranan dalam menjaga kebajikan dan keperluan pekebun kecil di Sabah.

“Nasib pekebun kecil di Sabah perlu dibela kerana apabila harga sawit meningkat, kerajaan hanya ingat untuk mengenakan cukai.

“Namun, sekiranya harga sawit turun, kerajaan seolah-olah melupakan nasib pekebun kecil di Sabah dan Sarawak, sehingga mereka terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi,” katanya.

Katanya, di Sabah banyak pekebun kecil dan koperasi sawit yang menghadapi masalah kerana selalu dipinggirkan daripada insentif kerajaan.

Menurutnya, sebagai contoh, keadaan jalan masuk ke ladang-ladang kelapa sawit terutamanya kebun kecil yang teruk dan tidak mendapat dana penyelenggaraan.

“Sehubungan itu, penubuhan Lembaga Minyak Sawit Sabah perlu disokong oleh semua pihak dan dana kementerian seharusnya di salurkan kepada Sabah,” katanya. 

Lo berkata, tanaman kelapa sawit di Sabah mempunyai keluasan kira-kira 1.3 juta hektar iaitu meliputi hampir 90 peratus daripada tanah pertanian di negeri ini.

Beliau berkata, ia menunjukkan Sabah adalah penyumbang terbesar kepada industri minyak sawit di Malaysia iaitu sebanyak 29.7 peratus daripada semua ladang sawit di Malaysia.
 

  • oleh
  • Advertisement