Anda di sini

18 maut dalam serangan terbaharu di Burkina Faso

Advertisement
 

OUAGADOUGOU: Seramai 18 orang maut, dua daripadanya anggota militia sukarela, dalam serangan terbaharu oleh kumpulan pelampau yang disyaki di Burkina Faso, penduduk tempatan dan seorang pegawai keselamatan memberitahu AFP kelmarin.

Tujuh warga awam telah terkorban dan empat cedera pada Isnin di perkampungan Toabin di wilayah tengah-timur Boulgou, kata penduduk tempatan.

Sebelas orang meninggal dunia pada hari yang sama dalam dua serangan di wilayah utara Loroum, menurut sumber lain.

Seorang pegawai dalam militia sukarela VDP menyatakan ibu pejabat tempatan bagi organisasi itu di Transaligo telah berdepan serangan sengit, mengorbankan dua anggota militia dan dua orang awam.

Beberapa jam kemudian, satu “serangan pengganas” ke atas kampung Hargo menyebabkan tujuh orang terkorban, kata pegawai itu.

Agensi berita rasmi AIB melaporkan kira-kira 20 penyerang telah “dineutralkan” oleh serangan udara pada hari yang sama ketika kumpulan itu berundur di kawasan Toulfe.

Salah sebuah negara paling miskin di dunia, Burkina Faso sedang berdepan keganasan pelampau yang merebak dari negara jiran Mali pada 2015.

Lebih 10,000 warga awam, anggota tentera dan polis telah terkorban, menurut anggaran NGO.

Sekurang-kurangnya dua juta orang telah meninggalkan rumah mereka dan kira-kira 40 peratus daripada negara secara efektifnya berada di bawah kawalan kumpulan pelampau.

Kekecewaan dalam pasukan tentera dengan kegagalan untuk mencegah keganasan mencetuskan dua rampasan kuasa pada tahun lepas.

Meskipun janji-janji oleh junta terbaharu untuk merampas semula wilayah yang ditawan, serangan telah meningkat sejak awal tahun, dengan angka kematian baru-baru ini dianggarkan dalam belasan bagi setiap minggu.

Strategi pihak junta meletakkan penekanan berat terhadap Volunteers for the Defence of the Fatherland (VDP). 

Anggotanya adalah sukarelawan warga awam yang menjalani latihan ketenteraan  selama dua minggu dan kemudian bertugas di samping pihak tentera biasanya melakukan pengintipan, pengumpulan maklumat atau tugas-tugas mengiring.

VDP mengalami korban nyawa yang banyak sejak penubuhannya pada Disember 2019, disasarkan oleh bom tepi jalan, serangan hendap dan serangan pandu lalu oleh pelampau yang menunggang motosikal. — AFP

Advertisement