Anda di sini

Teroka idea baharu bangunkan industri hortikultur di Sarawak: Abang Johari

Advertisement
Abang Johari dan isterinya Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang tertarik dengan orkid yang dipamerkan pada BIGEXS 2023 di BCCK, hari ini. Turut kelihatan Abdul Karim (kiri). - Gambar Muhammad Rais Sanusi
Abang Johari dan isterinya Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang tertarik dengan orkid yang dipamerkan pada BIGEXS 2023 di BCCK, hari ini. Turut kelihatan Abdul Karim (kiri). - Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Pemain industri hortikultur diminta untuk menerokai idea baharu dalam mempromosi dan membangunkan lagi industri tersebut di Sarawak. 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau baru balik dari Arab Saudi dan mendapati kerajaan negara itu menekankan pembangunan hortikultur.

Katanya, meskipun kepanasan cuaca negara itu tidak mesra dengan tanaman bunga, namun mereka dapat mencantikkan sepanjang jalan raya di bandar-bandar dengan pelbagai jenis bunga. 

Sarawak katanya, memiliki pelbagai jenis flora dan bunga-bungaan namun di sepanjang jalan raya di negeri ini tidak ada tanaman bunga seperti yang dilihat di Arab Saudi. 

"Jadi maksud saya, kita mesti ada polisi tertentu dan menyumbang idea apa yang hendak dibuat dengan bunga kita dan bagaimana untuk membangunkan industri hortikultur kita," ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Ekspo Taman Antarabangsa Borneo Sarawak (BIGEXS) 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini. 

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Pengarah Eksekutif BCCK Tan Sri Datuk Amar Wilson Baya Dandot, Pengarah Syarikat Orchidwoods Au Yong Kien Chieng dan Au Yong Kien Yan serta yang lain. 

Abang Johari turut meminta Datuk Bandar Kuching Utara dan Kuching Selatan untuk mengambil usaha mencantikkan jalan raya dalam bandar Kuching yang merupakan ibu negeri Sarawak dan kerajaan negeri akan membantu dari segi kewangan. 

Sementara itu, Abdul Karim berkata BIGEXS 2023 dijangka menjana impak ekonomi langsung dan tidak langsung kira-kira RM4.4 juta dengan jangkaan 20,000 pengunjung. 

Sebagai tambahan kepada manfaat ekonomi katanya, BIGEXS 2023 dijangka menawarkan satu lagi keunikan produk pelancongan bagi Sarawak.  

"Kita melihat ekspo ini sebagai peluang untuk acara tarikan baharu yang signifikan kepada kita seperti Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF)," katanya. 

BIGEXS 2023 dianjurkan oleh BCCK dan Syarikat Orchidwoods dan merupakan ekspo taman antarabangsa pertama seumpamanya di Sarawak, melibatkan pempamer dari Malaysia, Singapura, Thailand, Taiwan dan China. 

Ekspo tersebut mengetengahkan kepelbagaian flora dan fauna Sarawak, mempromosikan amalan berkebun mampan, usaha pemuliharaan flora dan fauna dan meraikan kekayaan semula jadi di rantau ini. 

Berlangsung selama tiga hari sehingga 19 Mac di BCCK, BIGEXS 2023 menampilkan pelbagai aktiviti seperti ceramah dan seminar oleh pakar hortikultur untuk berkongsi pengetahuan mereka dan amalan terbaik. 

Sempena acara pembukaan hari ini, turut diperkenalkan buat pertama kali dua spesies orkid yang dicipta eksklusif untuk Premier dan isterinya Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang iaitu Vanda Premier Abang Zohari dan Vanda Juma'ani. 
 

  • oleh
  • Advertisement