Anda di sini

PPM tahan dua lelaki guna bahan letupan di laut

Advertisement
 Dua suspek lelaki yang ditahan selepas dipercayai menjalankan kegiatan menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Kudat di sini.
TAHAN: Dua suspek lelaki yang ditahan selepas dipercayai menjalankan kegiatan menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Kudat di sini.

KUDAT: Dua lelaki berjaya ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas menjalankan kegiatan menangkap ikan menggunakan bahan letupan di kawasan laut Pulau Moleangin Besar di sini.

Menurut sumber PPM Kudat menerima maklumat mengenai aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan di kawasan laut berkenaan sebelum menjalankan pemeriksaan dalam Op Gelora Khas.

"Hasil pemeriksaan di lokasi mengesan sebuah bot laju dinaiki dua lelaki dewasa berumur dalam lingkungan 40-an dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 7.30 pagi.

"Ketika dihampiri, mereka memecut laju ke arah kawasan cetek dan pasukan PPM bertindak mengekori sebelum kedua-dua suspek ditahan," katanya.

Sumber berkata ketika mengejar suspek berlaku pergelutan antara suspek dengan anggota PPM bagaimanapun tindakan pantas pasukan berjaya menumpaskan suspek.

"Hasil pemeriksaan menemukan barangan seperti fius peletup, botol berisi baja ammonia, alat menyelam dipercayai digunakan untuk kegiatan mengebom ikan.

"Turut dirampas bot dan enjin. Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM25,700," katanya.

Sementara itu Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan rampasan berkenaan.

Katanya, tangkapan dan rampasan dibawa ke pangkalan PPM Kudat untuk tindakan lanjut atas kesalahan mengikut Akta Bahan Letupan 1957.

  • oleh
  • Advertisement