
KUCHING: Tiada rayuan akan dibuat terhadap keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang memutuskan untuk menolak petisyen Dr Johnical Rayong Nyipa bagi membatalkan keputusan kerusi Parlimen Lubok Antu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Dato Sri Wong Soon Koh dan Dr Rayong (plaintif) berkata, walaupun berasa sedih akan keputusan tersebut, mereka tetap menghormati keputusan mahkamah serta menjadikannya sebagai pengajaran untuk memperbaiki diri.
Mereka berkata demikian kepada pemberita selesai prosiding kes hari ini.
Dalam prosiding tersebut, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Duncan Sikodol memutuskan Roy Angau Gingkoi telah dipilih dengan sewajarnya sebagai Ahli Parlimen Lubok Antu pada PRU15.
Duncan juga membenarkan permohonan pihak responden pada 15 Mac lalu yang memohon agar petisyen dikemukakan Dr Rayong dibatalkan, tanpa memerlukan responden pergi ke mahkamah untuk menghadiri sesi perbicaraan.
Wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) Roy Angau Gingkoi dinamakan sebagai responden pertama, sementara responden kedua dan ketiga masing-masing dinamakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Mengulas lanjut, Wong yang hadir ke mahkamah hari ini untuk memberikan sokongannya kepada Dr Rayong berkata, petisyen tersebut merupakan pengajaran kepada pihak lawan untuk belajar bahawa keadilan seharusnya ditegakkan dalam sebarang pilihan raya.
“Ia juga merupakan pengajaran untuk melatih anak buah kita supaya berjaga-jaga dalam pilihan raya akan datang dan sebagainya,” katanya.