Anda di sini

Lelaki mengaku cuba curi kotak gear kereta majikan dipenjara enam bulan

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki dari Pusa dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah cuba mencuri sebuah kotak gear kereta kompak milik majikannya.

Majistret Zubaidah Sharkawi memerintahkan hukuman penjara bagi Nur Hakimie Leman, 21, untuk dikuatkuasakan mulai hari ini. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 511 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 29 Julai 2022, sekitar jam 1.15 petang di sebuah bengkel di Demak Laut Industrial Estate, Jalan Bako di sini. 

Fakta kes mendedahkan, pemilik bengkel dimaklumkan menerusi telefon oleh pekerjanya bahawa terdapat seorang pekerja lain (tertuduh) dilihat menyimpan sebuah kotak gear kereta kompak terpakai di bengkel, ke dalam sebuah lori milik syarikat pengadu. 

Semasa kejadian juga, tertuduh hendak memandu lori tersebut keluar dari kawasan bengkel namun dia sempat ditahan oleh pekerja lain.

Laporan polis dibuat dan tertuduh kemudiannya ditangkap pada hari sama. 

Hasil siasatan mendapati pengadu tidak memberikan sebarang arahan kepada mana-mana pekerjanya untuk membuang kota gear terpakai itu. 

Selain itu, tertuduh dilaporkan baru bekerja sebulan lebih di bengkel pengadu dan masih berhutang wang berjumlah RM1,000 dengan pengadu.

Tertuduh juga mempunyai pelbagai masalah dengan rakan sekerjanya. 

Siasatan lanjut mendapati, perbuatan tertuduh turut dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) malah turut disaksikan oleh dua saksi di tempat kejadian. 

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement