Anda di sini

TPM Fadillah: Pekebun kecil mesti dikecualikan peraturan tidak realistik EUDR

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Pekebun kecil berhak dilayan secara adil dan mesti dikecualikan daripada tuntutan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang tidak realistik, menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof (gambar).

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata pekebun kecil bergantung kepada eksport minyak sawit, getah dan komoditi pertanian lain untuk menyara keluarga.

“Peraturan ini merupakan satu halangan perdagangan besar untuk mereka mengakses pasaran Eropah yang akan mengakibatkan peningkatan kemiskinan, penurunan pendapatan isi rumah dan menggugat masyarakat luar bandar.

“Tindakan sedemikian adalah tidak adil dan bertentangan dengan komitmen EU seperti yang digariskan dalam Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya dalam kenyataan hari ini berhubung bantahan oleh pekebun kecil terhadap EUDR.

Semalam, lebih 500 pekebun kecil dari seluruh negara menandatangani petisyen berhubung pendirian bersama bagi mendesak EU mengkaji semula EUDR yang bersifat diskriminasi.

Menerusi petisyen itu, semua pihak berkenaan antaranya meminta EU untuk mengiktiraf Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan mengeluarkan Malaysia daripada kalangan negara yang berisiko sekiranya EUDR dilaksanakan.

Fadillah berkata hasrat EU untuk menetapkan Malaysia sebagai “berisiko tinggi” menerusi peraturan itu adalah tidak wajar, sekali gus meminta kesatuan itu mengiktiraf EU sebagai laluan kepada pematuhan peraturan.

“Malaysia tidak berisiko tinggi, pekebun kecil kita tidak berisiko tinggi dan tidak boleh dikategorikan sedemikian.

“Kadar penebangan hutan Malaysia secara relatifnya adalah sifar dan skim pensijilan MSPO membuktikan komitmen kita terhadap piawaian kemampanan yang komprehensif,” katanya sambil menggesa EU untuk membetulkan keadaan itu dengan berkesan dan secepat mungkin. - BERNAMA
 

Advertisement