Anda di sini

Tekad bawa Pemuda UMNO bangkit semula

Advertisement
AK MOHD YAZRI AK MOHD YAHAYA
AK MOHD YAZRI AK MOHD YAHAYA

BEAUFORT: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Beaufort Ak Mohd Yazri Ak Mohd Yahaya yang baharu dinobatkan pada pemilihan parti  itu baru-baru ini bertekad untuk menjadikan barisan Pemuda sebagai barisan hadapan parti.

Beliau turut berhasrat membawa Pemuda sebagai jurubicara rakyat dalam segenap lapisan isu yang membabitkan kepentingan rakyat.

Katanya, fokus utama adalah untuk membantu parti itu bangkit semula khususnya dalam mengembalikan sokongan anak muda terhadap UMNO.

Menurutnya, selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan dalam keadaan politik semasa yang sangat dinamik dan sentiasa berubah, UMNO sudah pasti akan menghadapi cabaran untuk terus kekal relevan dan menjadi suara kepada rakyat terutamanya untuk menarik sokongan anak muda berjuang bersama dalam UMNO.

“Bagi memastikan penyatuan dan kekuatan kita, Pemuda sentiasa utuh untuk selangkah bergerak ke hadapan, menjadi perisai parti keramat yang kita sayangi,” katanya ketika ditemui selepas diumumkan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Beaufort bagi sesi 2023-2026 di sini.

Ak Mohd Yazri mengenepikan pencabarnya bekas Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Beaufort Fadthul Radzi Lee Mohd Fadzlee dengan kelebihan sebanyak 18 undi.

Beliau berkata, untuk mengembalikan sokongan anak muda kepada UMNO, Pergerakan Pemuda perlu bangkit dan mendekati golongan berkenaan untuk sama-sama berjuang bersama parti.

Katanya, pelbagai perancangan akan  diatur dalam menarik sokongan anak muda khususnya sebagai persediaan mendepani PRU16 dalam keadaan lebih mantap.

“Pendekatan kita kepada golongan anak muda perlu relevan dengan keadaan semasa tanpa mengenepikan kegiatan tradisi sukan, kebudayaan, pendidikan dan kebajikan golongan ini,” katanya.

Pihaknya menghargai sokongan daripada para perwakilan yang memilihnya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Beaufort baharu.

Katanya, pemilihan itu adalah satu amanah dari ahli-ahli Pemuda yang perlu digalas secara berkumpulan bagi memastikan kehadiran Pemuda dapat dirasai oleh ahli-ahli parti di peringkat akar umbi.

Selain itu beliau juga menyasarkan untuk menambah semula keahlian jentera Pemuda UMNO susulan parti itu melalui proses pemutihan sebelum ini.
 

Advertisement