Anda di sini

Polis tambah 19 lagi CIC, tangani kes seksual dan penderaan

Advertisement
 

KOTA BHARU: Polis akan menambah 19 lagi Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), bagi menangani kes-kes seksual dan penderaan ke atas kanak-kanak dan wanita di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan (gambar) berkata setakat ini, hanya ada sebanyak 15 CIC di seluruh negara iaitu sebuah di setiap kontinjen.

Beliau berkata penambahan 19 buah lagi CIC itu, telah diluluskan dan kini pihak PDRM sedang mencari lokasi sesuai.

“Setiap negeri akan ditambah satu lagi CIC termasuk sebuah lagi di Kelantan iaitu di Machang.

“Di Sabah dan Sarawak pula akan ditambah dua lagi bagi setiap negeri, kerana keluasan negeri tersebut di samping dapat memberi kemudahan kepada saksi dan mangsa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan CIC yang bertempat di Perumahan PDRM di Kemumin, di sini hari ini.

Abd Jalil berkata PDRM memang berhasrat untuk menubuhkan CIC di setiap daerah, tetapi kerana beberapa kekangan perkara itu terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu.

Beliau berkata setiap CIC yang bakal ditubuhkan itu, seboleh-bolehnya berada di luar kawasan PDRM kerana tidak mahu mangsa atau saksi berasa tidak selesa, dan mahukan satu kawasan yang memberi keselesaan kepada mereka.

“Penubuhan CIC ini juga turut mendapat kerjasama daripada agensi dalam dan luar negara termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan setiap petugas di sini, sudah mendapat latihan yang secukupnya.

“Selain itu D11 juga turut mendapat penambahan penjawatan khas anggota seramai 100 pegawai dan empat daripadanya, ditempatkan di Kelantan,” katanya. - BERNAMA
 

Advertisement