Anda di sini

Pameran fotografi mampu pererat hubungan Zhengzhou dan Sibu: Tiong

Advertisement
(Dari dua kiri) Dr Khairuddin, Tiang, Xing, Wong serta yang lain melihat gambar-gambar pada pameran fotografi berjudul ‘Impressions of Zhengzhou City and Sibu City’ di UTS, hari ini.
(Dari dua kiri) Dr Khairuddin, Tiang, Xing, Wong serta yang lain melihat gambar-gambar pada pameran fotografi berjudul ‘Impressions of Zhengzhou City and Sibu City’ di UTS, hari ini.

SIBU: Pameran fotografi berjudul ‘Impressions of Zhengzhou City and Sibu City’ di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini akan meningkatkan persefahaman dan mengeratkan persahabatan antara Zhengzhou dan Sibu.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Tiong King Sing percaya, pameran itu juga akan menggalakkan pempamer dari kedua-dua tempat untuk menunjukkan hasil imaginasi mereka dan menterjemahkan ciri-ciri unik masing-masing melalui kamera.

"Apa yang penting ialah kita dapat menemui ilham menerusi keindahan kampung halaman kita dan mempromosikan keindahan Sibu melalui lensa kamera.

"Pada masa sama, semua peminat fotografi digalakkan untuk berkomunikasi antara satu sama lain melalui platform ini, untuk meningkatkan tahap kemahiran mereka bersama-sama, dan paling penting untuk terus menghasilkan karya fotografi yang lebih cemerlang pada masa hadapan,” ujarnya menerusi teks ucapan yang dibacakan wakilnya, Kapitan Wong Hua pada majlis perasmian pameran tersebut, hari ini.

Pameran dua hari anjuran Institut Confucius UTS itu memaparkan keindahan Sungai Kuning danbangunan tradisional yang mempesonakan di bandar Zhengzhou, China Tengah serta pemandangan Batang Rajang dan suasana malam di bandar Sibu.

Pelancaran mod hibrid antara UTS dan perwakilan dari China pula dilakukan melalui aplikasi Zoom.

Tiong yang juga ADUN Dudong berkata, gambar yang bagus boleh menarik perhatian dan menyentuh hati seseorang.

Beliau berkata, ia juga boleh membawa keluar sejarah, budaya dan cerita sesuatu tempat dan membangkitkan lamunan seseorang yang tidak terhingga, terutama pada era kini.

"Gambar yang bagus juga boleh menarik pelancong untuk melawat lokasi yang dipamerkan, sekali gus membantu meningkatkan ekonomi setempat," katanya.

Justeru, Tiong berharap Institut Confucius UTS akan memikul tanggungjawab mewarisi budaya Cina dan menggalakkan pertukaran dan pembelajaran bersama antara Malaysia dan China pada masa hadapan.

"Malaysia dan China akan terus menggunakan universiti sebagai platform berkualiti tinggi untuk memberikan sokongan padu bagi memperdalam pertukaran budaya dua hala, ikatan antara manusia dan meningkatkan hubungan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Michael Tiang berkata, pameran itu bertujuan mempromosikan industri pelancongan Zhenghou dan Sibu.

Beliau berharap Institut Confucius UTS dapat menjemput peminat fotografi dari Zhenzhou atau wakil media di seluruh dunia untuk datang ke Sibu bagi penggambaran dan mengeratkan silaturahim antara Zhengzhou dan Sibu.

Turut hadir Naib Canselor UTS Profesor Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid, Setiausaha Agung Persatuan Kebudayaan Cina Sarawak Lau Kim Foo, Konsul Jeneral Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Kuching Xing Weiping, Ketua Pengarah Pejabat Hal Ehwal Luar Negeri Wilayah Henan di China Liang Jieyi, Pengarah Bahagian Kerjasama dan Pertukaran Asing Jabatan Pendidikan Wilayah Henan Wang Huaxing, Presiden Universiti Sumber Air dan Kuasa Elektrik China Utara Profesor Liu Wenkai dan Naib Presiden Universiti Sumber Air dan Kuasa Elektrik China Utara Profesor Liu Xuemei.
 

Advertisement