Anda di sini

Mahkamah Sweden ringankan hukuman banduan usia 94 tahun

Advertisement
 

STOCKHOLM: Hukuman penjara seumur hidup seorang pembunuh berusia 94 tahun yang disabitkan bersalah dua kali telah diringankan oleh mahkamah Sweden, membuka kemungkinan untuk dia menghabiskan sisa-sisa harinya di luar penjara.

Dilahirkan pada 1928, Helmer Ljus telah melanggar undang-undang beberapa kali sepanjang hayatnya yang menghampiri seabad.

Disabitkan dengan kesalahan pertama pada usia 19 tahun, dia melakukan pembunuhan pertamanya pada usia 60 tahun, membunuh rakannya dengan kapak dan menyimbah asid pada seorang lelaki lain kerana berdengkur, menurut akhbar Dagens Juridik kelmarin.

Dijatuhi hukuman penjara 11 tahun, dia dibebaskan pada pertengahan 90-an namun tidak lama kemudian, dia menghadapi satu lagi tuduhan pembunuhan, yang dinafikannya.

Dia sekali lagi disabitkan kesalahan lalu dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh jirannya yang lumpuh pada usia 71 tahun, menjadi orang tertua yang dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dalam sejarah moden Sweden.

Mahkamah daerah Orebro berkata dalam keputusan itu bahawa hukuman penjara seumur hidup Ljus akan ditukar kepada hukuman penjara 39 tahun, memandangkan keadaan kesihatannya yang semakin merosot.

Setelah dipenjara selama 24 tahun, Ljus akan layak dibebaskan dengan parol dalam masa dua tahun.

Mahkamah menyatakan bahawa pihak pendakwaan tidak menentang perubahan hukuman itu, tetapi telah meminta tempoh hukuman ditetapkan bagi membolehkan pihak penjara merancang pembebasannya dan memudahkan peralihannya kepada kehidupan bebas.

Lembaga Perubatan Forensik Kebangsaan Sweden juga menerangankan bahawa kemungkinan Ljus akan melakukan jenayah selepas ini adalah rendah, dengan menyatakan bahawa penyakit demensia yang dihidapnya kini bermakna dia seorang yang berbeza berbanding sebelumnya.

Jika tiada rayuan, keputusan itu akan dimuktamadkan pada 31 Mac.

Pemberita SVT melaporkan sejak 2009 – permohonan terawalnya – Ljus telah berulang kali meminta hukumannya ditukar kepada hukuman tempoh, dengan alasan masalah kesihatannya.

Menurut kumpulan hak banduan Penal Reform International (PRI), sungguhpun tiada data mengenai warga emas di penjara, kadar banduan yang lebih tua semakin meningkat di beberapa negara.

PRI juga menyatakan banduan yang berumur 50 atau 55 tahun di penjara disifatkan sebagai ‘lebih tua’, berbanding usia 60 atau 65 tahun dalam komuniti, disebabkan oleh penuaan yang pantas di dalam penjara. — AFP 
 

Advertisement