Anda di sini

LHDN, KCGCCI bekerjasama adakan program pendidikan, kesedaran cukai

Advertisement
Tan (tujuh kanan) menyerahkan cenderamata sebagai penghargaan kepada Vijayen selepas sesi keterlibatan mereka, hari ini.
Tan (tujuh kanan) menyerahkan cenderamata sebagai penghargaan kepada Vijayen selepas sesi keterlibatan mereka, hari ini.

KUCHING: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan bekerjasama dengan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Kuching (KCGCCI) untuk mengadakan program pendidikan dan kesedaran cukai.

Kerjasama itu dicapai semasa kunjungan LHDN yang diketuai Pengarah LHDN Sarawak Vijayen Nagalingham dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Sarawak (ACCCIS) hari ini termasuk sesi soal jawab mengenai perkara cukai.

Katanya, objektif program pendidikan dan kesedaran cukai secara bekerjasama dengan komuniti percukaian seumpama ini adalah untuk meningkatkan kadar pematuhan cukai secara sukarela.

"Ia dengan menekankan tiga pendekatan iaitu Kesedaran Cukai (Awareness), Pendidikan Cukai (Education) dan Perkhidmatan Cukai (Services) kepada orang ramai," katanya semasa kunjungan, hari ini.

Sementara itu, Vijayen pada sesi berkenaan turut memaklumkan bahawa pengemukaan Borang Nyata (BN) Tahun Taksiran 2022 dan Tahun Saraan 2022 melalui e-filing telah bermula 1 Mac 2023.

Katanya, pembayar cukai individu dan selain individu dinasihatkan menggunakan Borang BE, B, M, BT, MT, P, TF, TP dan E.

"Pembayar cukai adalah disarankan untuk menggunakan perkhidmatan e-filing bagi tujuan pengemukaan BN yang boleh diakses melalui portal rasmi HASIL https://www.hasil.gov.my/> MyTax > Perkhidmatan ezHasil > e-Filing atau secara terus ke MyTax; melalui portal https://mytax.hasil.gov.my/ atau aplikasi telefon.

"Manakala bagi ejen cukai pula digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan TAEF (https://taef.hasil.gov.my/)," katanya.

Beliau memberitahu sekiranya pembayar cukai masih menghadapi masalah berhubung kata laluan atau No. PIN, pembayar cukai boleh merujuk kepada panduan yang disediakan di MyTax, menghubungi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 (Dalam Negara)/603-8911 1100 (Luar Negara), HASIL Live Chat atau mengunjungi kaunter perkhidmatan HASIL yang berhampiran.

"Pembayar cukai turut dinasihatkan untuk mengemukakan Borang Nyata (BN) dan membayar cukai pendapatan mereka dalam tempoh yang telah ditetapkan.

"Status penghantaran BN, proses bayaran balik, e-Lejar dan maklumat Potongan Cukai Bulanan (PCB) boleh disemak melalui MyTax," katanya.

Sementara itu, Presiden KCGCCI Datuk Tan Jit Kee berkata, program kesedaran cukai mereka akan memberikan gambaran yang lebih baik tentang kepentingan pembayaran cukai secara sukarela kepada ahli KCGCCI.

"Malah, banyak faedah yang boleh diperoleh terutama kepada golongan peniaga sekiranya cukai dibayar mengikut jadual dan jumlah yang betul.

"Salah satu daripadanya ialah ia membuka peluang cerah untuk anda meminjam daripada institusi perbankan, malah bank akan mencari anda untuk menawarkan pinjaman," kata Tan.

Tambah beliau lagi, kerjasama antara LHDNM dan KCGCCI akan memastikan ahli mereka menjadi pembayar cukai yang baik.
 

Advertisement