Anda di sini

Laporan polis: Ahmad Zahid sedia disiasat

Advertisement
Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menegaskan, beliau sedia disiasat berhubung laporan polis yang dibuat ke atasnya dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, oleh pemimpin parti Bersatu.

“Jadi saya sebagai seorang yang sangat telus, sedia untuk disiasat pihak polis kerana kita yakin apa yang diadukan oleh mereka tidak ada asas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Kerjasama Transformasi Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) antara kerajaan bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat swasta di Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Ahmad Zahid menyifatkan laporan berkenaan sebagai aduan politik.

“Masalah politik harus diselesaikan dengan cara politik. Aduan polis tidak menyelesaikan masalah. Mereka (Bersatu) mahu mempertahankan diri, tetapi tiada kemampuan,” katanya.

Semalam, Ketua Penerangan Bersatu Datuk Razali Idris membuat laporan polis terhadap Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Anwar yang juga Presiden PKR, berhubung fitnah serta dakwaan ke atas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin. - BERNAMA
 

Advertisement