Anda di sini

Kerajaan negeri rancang wujudkan ladang kelapa di Tambunan

Advertisement
 Jeffrey (dua kanan) menyampaikan sumbangan benih kelapa kepada salah seorang petani.
BANTUAN: Jeffrey (dua kanan) menyampaikan sumbangan benih kelapa kepada salah seorang petani.

TAMBUNAN: Kerajaan negeri merancang untuk membangunkan semula padang ragut terbiar di daerah ini menjadi sebuah ladang kelapa hasil tinggi.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, ladang kelapa dilihat boleh memberikan hasil yang tinggi dalam industri pertanian di Sabah.

“Rancangan ini menandakan permulaan wawasan saya untuk membangunkan semula kawasan ragut terbiar di Tambunan menjadi sebuah ladang kelapa hasil tinggi.

“Ia dijangka akan memberi manfaat kepada penduduk kampung di kawasan berkenaan dan menyumbang pembangunan ekonomi yang mampan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah berkata demikian dalam majlis penyerahan anak benih kelapa, di sini hari ini.

Katanya, kerajaan negeri dengan kerjasama Malaysian Kuwaiti Investment Co Sdn Bhd (MKIC), menyasarkan untuk mengubah 23,490.56 ekar padang ragut terbiar di daerah itu.

Menurutnya, kerjasama itu bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan memberi peluang perniagaan kepada penduduk di daerah ini.

“Inisiatif ini selaras dengan pelan pembangunan strategik daerah Tambunan 2022-2030 dan merupakan sebahagian daripada fokus Sabah Maju Jaya dalam bidang pertanian.

“Industri kelapa adalah salah satu rancangan pembangunan di bawah Sabah Maju Jaya serta memfokuskan kepada pertanian di samping pembangunan perindustrian dan pelancongan,” katanya.

Jeffrey berkata, lapan kampung telah dikenal pasti dan dipilih untuk fasa pertama projek itu, yang meliputi  3,400.75 ekar padang ragut.

“Fasa kedua pula, melibatkan sebanyak 30 buah  kampung tambahan dengan padang ragut yang diwartakan.

“MKIC menyumbangkan sebanyak 5,000 anak pokok kelapa varieti Malaysian Yellow Dwarf (MYD) dan Malaysian Red Dwarf (MRD) sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka,” katanya.

Beliau berharap ladang kelapa di padang ragut Tambunan akan menjadi industri yang mampan disamping aktiviti pertanian sedia ada.

Katanya, rancangan ini menjadikan penduduk Tambunan berdikari dan memupuk pembangunan berterusan untuk generasi akan datang.

“Saya mencadangkan supaya diwujudkan kilang pemprosesan kelapa di Tambunan pada masa hadapan, seterusnya menekankan potensi pertumbuhan ekonomi di kawasan itu.

“Bagi memastikan kejayaan penanaman kelapa, saya berharap MKIC dengan kerjasama Dataforce memantau perkembangan anak-anak kelapa tersebut serta memberi bimbingan dan bantuan lain,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement