Anda di sini

Gelombang haba, kemarau landa Argentina cetus kebakaran hutan

Advertisement
 Asap hitam daripada kebakaran hutan di bandar Ituzaingo di wilayah Corrientes pada Isnin lepas. — Gambar AFP
TERBAKAR: Asap hitam daripada kebakaran hutan di bandar Ituzaingo di wilayah Corrientes pada Isnin lepas. — Gambar AFP

BUENOS AIRES: Kebakaran di Argentina yang dilanda gelombang haba dan kemarau telah memusnahkan kira-kira 6,000 hektar hutan di wilayah Corrientes utara dalam masa beberapa hari sahaja, kata pihak berkuasa kelmarin.

Tiga kebakaran terus mendatangkan bahaya manakala dua yang lain juga masih terbakar tetapi terkawal, menurut pusat arahan kecemasan Corrientes.

Tiada kecederaan dilaporkan dan kebakaran tidak merebak ke kawasan penduduk, dengan hujan dijangka akan turun.

Sejak awal tahun ini, negara Amerika Selatan itu menghadapi rentetan gelombang haba, selain kebakaran telah memusnahkan lebih 100,000 hektar kawasan di Corrientes, menurut institut teknologi pertanian INTA.

Bulan lalu, Argentina mengeluarkan amaran kesihatan di beberapa wilayah mengenai gelombang haba terpanas dalam beberapa dekad, dengan suhu hampir mencecah 40 Celsius.

Tiga bulan sepanjang November hingga akhir Januari merupakan tempoh paling panas sejak 1961, menurut jabatan cuaca.

Walaupun gelombang haba berkala adalah normal, perubahan iklim telah menjadikannya lebih berterusan dan lebih melampau, termasuk di daerah pergunungan, Patagonia Argentina, kata ahli meteorologi Enzo Campetella kepada AFP.

Pada 2022, kebakaran hutan di Corrientes memusnahkan lebih daripada satu juta hektar, menurut angka rasmi.

Tahun lepas, kitaran La Nina daripada fenomena cuaca El Nino membawa suhu tertinggi dalam sejarah, mengakibatkan kerugian tanaman yang dianggarkan berjumlah berbilion dolar. — AFP 


 

Advertisement