Anda di sini

‘Enjoy Jakarta’ Kota destinasi pelancongan bersejarah

Advertisement
 Monumen Nasional setinggi 132 meter tersergam indah yang merupakan idea Presiden Soekarno.
TUGU: Monumen Nasional setinggi 132 meter tersergam indah yang merupakan idea Presiden Soekarno.

JAKARTA yang sudah wujud seawal tahun 1526 dan cukup lama melalui zaman penjajahan, sudah pasti menyimpan banyak peninggalan sejarah menarik untuk tatapan mahupun kajian pelbagai pihak.

Kerajaan Republik Indonesia mengambil keputusan yang tepat mengekalkan lokasi bersejarah tanpa mengubah struktur bangunannya untuk dijadikan produk pelancongan negara itu.

Pelancongan di Jakarta dilihat cukup lengkap merangkumi pelbagai aspek dan dapat menambat hati semua golongan samada pencinta makanan, fesyen, sejarah, hiburan dan kraf tradisional.

Namun siri terakhir ini, penulis lebih tertarik untuk berkongsi beberapa lokasi pelancongan bersejarah di ibu kota dan bandar terbesar negara sang Garuda ini.

Lawatan penulis pada hari ketiga di kota metropolitan ini lebih tertumpu mengunjungi dan mengenali tempat-tempat peninggalan sejarah di Jakarta.

Bandaraya ini banyak menyimpan tapak bersejarah yang memaparkan artifak dari masa lalu, perjuangan pemimpin awal dan pahlawan kemerdekaan Indonesia.

Pengembara dari luar negara sama ada pencinta sejarah ataupun tidak, sudah pasti akan tertarik apabila melihat peninggalan masa lalu yang masih kukuh tanpa sebarang perubahan strukturnya.

 Pejabat Gabenor zaman Belanda yang masih dikekalkan struktur bangunannya, kini dijadikan Muzium Fatahillah.
PENINGGALAN: Pejabat Gabenor zaman Belanda yang masih dikekalkan struktur bangunannya, kini dijadikan Muzium Fatahillah.

Kota Tua atau Old Batavia adalah destinasi popular dan wajib dikunjungi sekiranya menjejakkan kaki ke kota ini kerana asal usul Jakarta bermula di sini.

Destinasi pelancongan ikonik yang terletak di ibu kota ini sudah wujud sejak zaman penjajah Belanda lagi dan menjadi rujukan oleh pelawat tempatan mahupun antarabangsa.

Sekitar Kota Tua terdapat banyak lokasi bersejarah dan peninggalan penjajah yang boleh dilihat serta sesuai dijadikan tempat mengabadikan gambar kenangan.

Pengunjung boleh menikmati pemandangan di Taman Fatahillah, Kafe Batavia, Art Street Kota Tua, Stesen Kereta Api tertua di Jakarta, Pelabuhan Sunda Kelapa, Jambatan Kota Intan dan banyak lagi.

Sementara itu, Monumen Nasional ataupun Tugu Monas yang terletak di tengah Lapangan Medan Merdeka, Jakarta Pusat juga merupakan lokasi bersejarah yang wajib dikunjungi.

Monumen peringatan setinggi 132 meter itu dibina pada 17 Ogos 1961 ketika zaman pemerintahan Presiden Soekarno bagi memperingati perjuangan rakyat Indonesia menuntut kemerdekaan daripada Belanda.

Menariknya tugu ini adalah mahkota obornya yang disalut emas seberat 72 kilogram sebagai simbolik atau lambang semangat juang rakyat Indonesia.

Di bahagian dalamnya pula terdapat Muzium Sejarah Nasional Indonesia yang memaparkan sejarah negara ini sejak zaman pra sejarah hingga ke era moden.

Manakala di puncak ketinggian 115 meter, pengunjung dapat menikmati pemandangan seluruh penjuru kota Jakarta dengan menggunakan teropong yang disediakan.

 Meriam Si Jagur yang dibawa oleh Belanda ke Batavia setelah menakluki Melaka pada tahun 1641.
SEJARAH: Meriam Si Jagur yang dibawa oleh Belanda ke Batavia setelah menakluki Melaka pada tahun 1641.

Perjalanan penulis bersama rombongan disambung dengan menaiki jejantas jambatan Phinisi yang merupakan satu lagi tarikan pelancong atas inisiatif kerajaan Indonesia dan bakal menjadi sejarah di negara ini.

Jambatan ini memiliki ciri khas menarik kerana anjungnya menyerupai sebuah kapal seakan berada di tengah-tengah Jalan Jenderal Sudirman, Karet, Jakarta Pusat.

Terdapat nilai sentimental di jambatan ini kerana diabadikan nama-nama petugas kesihatan yang terkorban disaat berjuang membantu Indonesia melawan pandemik COVID-19 selama dua tahun terakhir.

Di sisi utara jambatan ini, pelancong boleh melihat tugu ikonik selamat datang ataupun dikenali masyarakat Jakarta ‘Tugu HI’ yang dikaitkan dengan simbolik menyambut kedatangan pelawat ke Jakarta.

 Rombogan penulis mengabadikan kenangan di dalam bangunan Tugu Monas.
KENANGAN: Rombogan penulis mengabadikan kenangan di dalam bangunan Tugu Monas.

Sebelum melabuhkan tirai, penulis mahu berkongsi sedikit mengenai hotel bertaraf lima bintang yang disediakan oleh pihak Disparekraf Provinsi DKI Jakarta sepanjang kami di kota Jakarta.

Hotel ‘The Orient Jakarta’ berada di Jalan Jenderal Sudirman, Jakarta Pusat yang merupakan hotel lima bintang dan mempunyai kelasnya tersendiri.

Sebelum melangkah ke bilik hotel, pengunjung boleh melihat gaya moden restorannya ala Sepanyol yang menjadikan suasana hotel ini berkelas tinggi.

Sewaktu penulis melangkah ke hotel ini, sememangnya cukup terpegun dengan reka bentuk ukiran kayu seolah-olah mengabungkan pelbagai elemen tempatan dan luar negara yang boleh dilihat di sepanjang hotel ini.

Kami difahamkan lebih 150 bilik yang ada di hotel ini menghadap pemandangan ke arah kota Jakarta dan reka bentuk dalamnya juga berbeza antara setiap bilik.

Penulis sangat mengesyorkan kepada pelancong yang ingin bercuti ke Jakarta untuk merasai sendiri keunikan hotel ini.

 Media Malaysia berkesempatan menemuramah Bapak Hari Wibowo.
TEMURAMAH: Media Malaysia berkesempatan menemuramah Bapak Hari Wibowo.

Rombongan media juga berkesempatan menemuramah Pengarah Pemasaran dan Atraksi Pelancongan Ekonomi Kreatif Jakarta, Bapak Hari Wibowo ketika beliau meninjau perjalanan program Familiarization Trip 2023 ini.

Beliau berkata, program membawa pengamal media dari Malaysia adalah inisiatif pihaknya dan dilihat penting sebagai medium menyampaikan situasi terkini pelancongan di Jakarta.

Katanya, rakyat Malaysia adalah pelancong paling ramai yang datang ke Jakarta sebelum berlakunya pandemik COVID-19.

“Hal ini disebabkan mungkin budaya dan geografi Malaysia dan Indonesia tidak jauh berbeza, selain kedua-dua negara adalah berjiran.

“Justeru, kami beranggapan rakyat Malaysia perlu tahu dengan situasi dan pakej pelancongan yang ditawarkan di Jakarta ketika ini,” katanya.

 Tugu HI simbolik menyambut kedatangan tetamu ke Jakarta.
PEMANDANGAN: Tugu HI simbolik menyambut kedatangan tetamu ke Jakarta.

Hari Wibowo berkata, Jakarta juga mahu menjadi pemain industri pelancongan terkenal dan usaha ke arah memantapkan pusat-pusat pelancongan sentiasa ditingkatkan.

Menurutnya, industri pelancongan adalah penyumbang ketiga terbesar ekonomi di negeri ini dan sudah pastinya pemerintah Indonesia mahukan ia sentiasa berkembang.

“Kita juga sudah mula mengiklankan pakej pelancongan Jakarta di negara luar termasuklah Malaysia dan ia boleh dilihat di papan iklan berhampiran lapangan terbang utama di Kuala Lumpur.

“Program membawa media dari Malaysia, bukanlah yang pertama dan terakhir dijalankan kerana ia akan sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement