Anda di sini

Dua pelajar mengaku bunuh, buang mayat mangsa di hutan

Advertisement

Luise, 12, dilaporkan hilang pada Sabtu dekat Freudenberg, Jerman

 Lilin dan bunga ditinggalkan di kawasan hutan di mana mayat Luise ditemui selepas dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang dari rumah rakannya berhampiran bandar Freudenberg pada petang Sabtu lepas. — Gambar AFP
PENGHORMATAN: Lilin dan bunga ditinggalkan di kawasan hutan di mana mayat Luise ditemui selepas dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang dari rumah rakannya berhampiran bandar Freudenberg pada petang Sabtu lepas. — Gambar AFP

FRANKFURT: Dua pelajar sekolah mengaku telah menikam sehingga mati seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di Jerman, menurut pihak polis kelmarin, dalam satu kes yang mengejutkan negara itu.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Luise dilaporkan hilang pada petang Sabtu ketika dalam perjalanan pulang dari rumah rakannya berhampiran bandar Freudenberg, di negeri barat Rhine-Westphalia Utara.

Mayat Luise ditemui pada hari berikutnya di kawasan hutan tidak jauh dari rumahnya.

“Kanak-kanak itu meninggal dunia akibat luka tikaman pisau dan kehilangan banyak darah,” kata pendakwa raya Koblenz Mario Mannweiler pada sidang akhbar, sambil menambah bahawa “tiada kesan salah laku seksual”.

Dua kanak-kanak perempuan, berusia 12 dan 13 tahun, telah mengaku melakukan jenayah itu, tambah Florian Locker, ketua jabatan pembunuhan polis Koblenz.

“Kedua-dua budak itu membuat kenyataan mengenai perkara itu dan akhirnya mengakui jenayah itu,” kata Locker.

Pelaku dan Luise kenal akan satu sama lain, tambah Mannweiler.

Bagaimanapun, polis enggan memberikan butiran lanjut kerana usia suspek, yang terlalu muda untuk dipertanggungjawabkan dari segi jenayah atas tindakan mereka di Jerman.

Di Jerman, umur tanggungjawab jenayah bermula pada 14 tahun.

Pasukan penyiasat masih belum menemui pisau yang digunakan dalam serangan itu, kata Mannweiler.

“Ini satu kejadian yang sangat luar biasa dan mengejutkan, bahkan bagi kami,” tambah Mannweiler.

Luise sedang dalam perjalanan pulang dari rumah rakannya tetapi ibu bapanya mula mencarinya pada petang Sabtu selepas dia tidak kembali ke rumah mereka.

Kehilangan mangsa mencetuskan operasi mencari besar-besaran yang melibatkan berpuluh-puluh anggota polis, helikopter, dron dan anjing pengesan.

Wakil tempatan negeri Rhine-Westphalia Utara, Hendrik Wuest, berkata pembunuhan itu menyebabkan dia “terkedu”.

“Ia tidak dapat dibayangkan dan hampir tidak boleh dipercayai bahawa kanak-kanak mampu melakukan perbuatan sedemikian,” katanya.

Penduduk tempatan meletakkan bunga dan lilin berhampiran kawasan hutan di mana mayat Luise ditemui. 

Pegawai polis masih menggeledah tempat kejadian untuk mencari bahan bukti.

Sekolah Luise memaparkan ucapan takziah pada laman utamanya.

“Kami kehilangan pelajar, rakan sekelas dan rakan kami, Luise pada hujung minggu,” kata sekolah Esther-Bejarano di Freudenberg dalam satu kenyataan.

“Terlalu awal dia dirampas dengan ganasnya daripada kami dan keluarganya. Fikiran dan ucapan kami bersama dengan keluarga dan rakan-rakannya sekarang dan pada hari-hari akan datang.”

Kes itu menghidupkan semula kenangan pembunuhan James Bulger yang terkenal di England pada 1993. Kanak-kanak itu diculik dan diseksa sebelum dia dibunuh oleh dua budak lelaki berusia 10 tahun, Robert Thompson dan Jon Venables. — AFP 



 

Advertisement