Anda di sini

Dua lelaki warga India dan Myanmar diperintah bela diri tuduhan bunuh

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

SHAH ALAM: Dua lelaki warga India dan Myanmar diperintah untuk membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang pemandu Grab lima tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap warga Myanmar Sua Lay, 38, dan warga India Gurpreet Singh, 28.

"Setelah meneliti segala bukti dan hujahan, mahkamah mendapati terdapat kes prima facie. 

“Ini melibatkan penemuan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tertuduh kedua (Gurpreet) di lokasi kejadian dan keterangan membabitkan tertuduh pertama (Sua Lay) yang memandu arah bagi penemuan kunci kereta si mati selain anggaran kasar tempoh kematian antara satu ke dua hari bersesuaian dengan pertuduhan yang dikemukakan," katanya.

Sua Lay dan Gurpreet didakwa dengan niat bersama-sama membunuh Aiman Nosri, 27, di tempat letak kereta, lorong belakang Blok C di Taman Selayang Makmur, Selayang Baru, Batu Caves, pada 10.08 malam, 21 Jun 2018.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh memilih memberikan keterangan bersumpah di kandang saksi pada prosiding pembelaan yang ditetapkan pada 9, 16,17 dan 18 Mei ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Heikal Ismail manakala Sua Lay diwakili peguam Datuk Rajpal Singh dan Gurpreet diwakili peguam Muhamad Amirul Jamaluddin. - BERNAMA
 

Advertisement