Anda di sini

Alena serlah warisan Kelabit menerusi pameran lukisan

Advertisement
Alena bersama tumpuan utama bagi pameran lukisan solo Alena yang akan dibuka kepada orang ramai bermula 18 Mac ini; sebuah lukisan gergasi berjudul ‘The Storyteller’ berukuran lebih dua meter. – Gambar Roystein Emmor
Alena bersama tumpuan utama bagi pameran lukisan solo Alena yang akan dibuka kepada orang ramai bermula 18 Mac ini; sebuah lukisan gergasi berjudul ‘The Storyteller’ berukuran lebih dua meter. – Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Penyanyi dan pemain sape terkenal Alena Murang berkata, pameran lukisan pertamanya ‘Colours of the Highlands’ di Galeri Hoan di La Promenade Mall di sini merupakan satu usaha untuk menyerlahkan semula warisan Kelabit menerusi memori. 

Menurutnya, beliau 'menyulam' perkara yang disifatkannya sebagai cerita-cerita kontemporari Kelabit ke atas kanvasnya dan hasilnya adalah gambaran indah yang berpaksikan kepada kebudayaan Sarawak.

Beliau berkata, lebih 50 lukisan yang kesemuanya hasil karya beliau, akan dipamerkan pada pameran mulai 18 Mac hingga 30 April ini.

Alena, yang bekerjasama dengan pemilik Galeri Hoan, Hoan Kee Huang telah menghasilkan katalog lukisan dengan harga antara RM3,000 hingga lebih RM25,000.

“Lukisan yang bakal dipamerkan termasuklah lukisan figura daripada awal tahun 2010-an, kanvas potret besar yang siap pada 2018 serta lukisan memaparkan pusaran tradisional Kelabat dipanggil ‘arit’.

“Semua lukisan yang dipamerkan adalah untuk dijual. Meskipun agak sukar dan berasa sedikit sedih untuk melepaskan koleksi lukisan tersebut, saya berharap kesemuanya akan terjual semasa pameran,” ujarnya kepada pemberita semasa previu media pameran seni ‘Colours of the Highlands’ di Hoan Gallery La Promenade Mall di sini, hari ini.

Antara lukisan kegemaran Alena, berjudul Pu’ Ayam (Dear One), 2022. Akrilik, arang, pastel pada kanvas. – Gambar Roystein Emmor
Antara lukisan kegemaran Alena, berjudul Pu’ Ayam (Dear One), 2022. Akrilik, arang, pastel pada kanvas. – Gambar Roystein Emmor

Bagi pemuzik Kelabit itu, bakat melukisnya digalakkan oleh ibunya yang melihat kecenderungannya ke arah kesenian sewaktu beliau masih kanak-kanak.

Terdahulu, selepas meninggalkan pekerjaan korporat pada 2013, Alena mendapatkan Sijil Seni Visual di La Salle College of the Arts di Singapura sebelum beliau menyertai pameran berkumpulan di Taiwan, Kuala Lumpur dan Kuching.

Sementara itu, Hoan dalam satu kenyataan berkata, beliau berhasrat untuk melihat artis-artis Sarawak berkembang di arena kebangsaan dan antarabangsa. 

“Bakat Alena menunjukkan potensi yang amat besar. Saya rasa pertunjukan Alena akan terbukti sebagai salah satu pembukaan paling mengagumkan bagi mana-mana pelukis di Malaysia dalam masa terdekat.

"Sudah tentu ia akan diingati sebagai salah satu pameran lukisan terbaik di Sarawak pada masa ini,” kata Hoan.

Beberapa lukisan besar telah ditunjukkan lebih awal kepada media semasa media previu tersebut dan antara yang dijangka menjadi tumpuan utama pada pameran itu nanti ialah sebuah lukisan setinggi tujuh kaki dipanggil ‘The Storyteller’, 2017.

Alena menjelaskan kepada pemberita salah satu lukisan dalam kategori ‘arit’ atau pusaran yang bakal dipamerkan di pameran ‘Colours of the Highlands’. – Gambar Roystein Emmor
Alena menjelaskan kepada pemberita salah satu lukisan dalam kategori ‘arit’ atau pusaran yang bakal dipamerkan di pameran ‘Colours of the Highlands’. – Gambar Roystein Emmor

Diiringi audio yang memukau dan memaparkan proses Alena menerima lagu-lagu daripada orang-orang tua di kampungnya, ‘The Storyteller’ adalah karya yang harus dilihat dan dihayati para pengunjung. 

Kemasukan ke pameran lukisan ‘Colours Of Highlands’ yang terletak di Aras Tiga gedung beli-belah La Premonade Mall adalah percuma.

Untuk maklumat lanjut, sila layari hoangallery.com atau lapromenademall.com.my.
 

  • oleh
  • Advertisement