Anda di sini

Akta khas digubal untuk wujudkan Suruhanjaya Kanak-Kanak yang bebas

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menggubal akta khas bagi membolehkan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak beroperasi secara bebas dan bertindak sebagai pemerhati terhadap pelbagai isu membabitkan golongan itu di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata adalah penting untuk terus memperkasa Pesuruhjaya Kanak-Kanak Dr Farah Nini Dusuki dan pejabatnya yang kini beroperasi di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Beliau berkata suruhanjaya kanak-kanak harus bebas agar ia dapat memantau secara berkesan dan agresif bukan sahaja undang-undang jenayah yang membabitkan golongan itu tetapi juga segala aspek berkaitan kesejahteraan mereka seperti pendidikan serta kesihatan.

“Limitasi Suhakam adalah ia lebih (fokus) kepada hak asasi manusia tetapi kepakaran seorang  pesuruhjaya sebagai pemerhati perlu lebih daripada isu hak asasi. Itu sebab perlu akta yang menyokong Pesuruhjaya Kanak-Kanak.

“Sekarang ia kekok dari segi operasi, pembelanjaan dan kuasanya di bawah Suhakam,” kata beliau dalam sidang media di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Azalina berkata akta khas itu, yang dijangka dibentang pada tahun ini, juga akan memberi kuasa kepada Pesuruhjaya untuk memantau, menilai, memberi pendapat dan membantu kerajaan dalam memastikan hak kanak-kanak dipertahan dan kebajikan mereka terpelihara. 

Farah Nini pula berkata impian dan hasrat beliau sebagai Pesuruhjaya Kanak-Kanak ialah untuk memahamkan orang ramai bahawa hak kanak-kanak adalah istimewa manakala keupayaan mereka yang sentiasa berkembang memerlukan layanan khas.

“Penglibatan kanak-kanak sering diabaikan… saya mahu mengubah perkara ini. Keputusan kita seharusnya lebih bersifat mementingkan kanak-kanak supaya apa sahaja yang kita lakukan adalah demi kepentingan mereka dan bukan untuk keselesaan kita,” katanya. 

Pensyarah kanan di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya itu dilantik sebagai Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah Suhakam untuk tempoh tiga tahun yang berkuat kuasa pada 8 Mac lepas. - BERNAMA
 

Advertisement