Anda di sini

Syarikat China rancang bina loji jana kuasa hidro di Ranau

Advertisement
 Wakil dari Megaworld Vest dan Gezhouba merakamkan kenangan bersama Hajiji (lima kanan) selepas kunjungan itu.
DELEGASI: Wakil dari Megaworld Vest dan Gezhouba merakamkan kenangan bersama Hajiji (lima kanan) selepas kunjungan itu.

KOTA KINABALU: Syarikat tempatan Megaworld Vest Sdn Bhd dan syarikat Kumpulan Gezhouba dari China merancang untuk memulakan usaha sama membina loji jana kuasa hidro bernilai RM4 bilion di negeri ini.

Projek yang dirancang dibina di Liwagu Ranau itu dijangka mampu menghasilkan sehingga 1,000 megawatt kapasiti tenaga.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor diberi taklimat mengenai cadangan itu semasa kunjungan hormat wakil Megaworld Vest dan Gezhouba yang diketuai Pengerusi Megaworld Vest Datuk Seri Arsit Sedi di di Menara Kinabalu di sini pada Isnin lepas.

Cadangan projek berkenaan selaras dengan visi kerajaan negeri untuk memperkenalkan dan membina lebih banyak infrastruktur bekalan kuasa boleh diperbaharui di Sabah.

Selain itu, usaha berkenaan untuk menggantikan secara beransur-ansur loji janakuasa gas dan diesel sedia ada kerana pengeluaran gas di Sabah yang dijangka semakin berkurangan pada masa akan datang.

Syarikat Gezhouba ialah kontraktor utama yang membina Empangan Three Gorges berkapasiti tenaga 22,500 megawatt di China yang juga empangan kuasa hidro terbesar di dunia.

Turut hadir, Pengarah Megaworld Vest Datuk Maijol Mahap; Pengarah Urusan Megaworld Vest Herman SK Lee, Melvin Lee, Rachel Lee, dan Jimmy Tang.
 

  • oleh
  • Advertisement