Anda di sini

Sukatan baharu mata pelajaran tingkatan enam disasar dilaksana mulai 2026

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan sukatan baharu mata pelajaran tingkatan enam dapat dilaksanakan mulai Semester 1 Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2026.

Dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini, KPM memaklumkan sedang menyemak semula sukatan mata pelajaran tingkatan enam supaya seiring dengan perkembangan semasa bagi memenuhi keperluan negara.

Di samping itu, sukatan disemak supaya selaras dengan sukatan A-Level yang dikelolakan Cambridge Assessment International Education (CAIE), United Kingdom kerana Sijil STPM diiktiraf setaraf dari segi standard dengan A-Level kelolaan CAIE itu sejak 1982.

Menurut kementerian itu semakan sukatan mata pelajaran berkenaan dijangka selesai pada 2025.

“Buat masa ini, beberapa siri bengkel penyemakan sukatan pelajaran peperiksaan STPM serta sesi libat urus sedang giat dilaksanakan,” menurut KPM bagi menjawab soalan Zakri Hassan (PN-Kangar) mengenai bilakah kerajaan akan mengubah sukatan pelajaran tingkatan enam kerana ia sudah lama tidak disemak dan kurang relevan dengan keperluan masa kini.

KPM memaklumkan fokus penyemakan merangkumi kerelevanan sukatan pelajaran peperiksaan dari aspek matlamat, objektif, tajuk yang perlu diajar/belajar, waktu pengajaran bagi setiap tajuk, hasil pembelajaran yang sepatutnya dicapai calon dan skim pentaksiran pada setiap penggal.

KPM turut mengambil kira ulasan dan maklum balas diberikan pihak berkepentingan termasuk guru yang mengajar tingkatan enam, calon yang telah menduduki peperiksaan STPM dan pensyarah universiti dalam sesi libat urus. - Bernama 

Advertisement