Anda di sini

Sarawak rancang tubuh Pusat Perubahan Iklim: Abang Johari

Advertisement
Abang Johari (dua kiri) melawat salah satu ruang pameran sempena Persidangan Karbon Asia (ACC) 2023 di Kuching, hari ini. Turut kelihatan Awang Tengah (kanan), Dr Sim (dua kanan). - Gambar Chimon Upon
Abang Johari (dua kiri) melawat salah satu ruang pameran sempena Persidangan Karbon Asia (ACC) 2023 di Kuching, hari ini. Turut kelihatan Awang Tengah (kanan), Dr Sim (dua kanan). - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Sarawak merancang untuk menubuhkan Pusat Perubahan Iklim yang akan berperanan sebagai hab berpusat bagi perubahan iklim dan inisiatif perdagangan karbon di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pusat itu akan menyelaras, mengurus, menyokong dan membimbing isu-isu berkaitan perubahan iklim, selain pembangunan perdagangan karbon di Sarawak.

"Saya mencadangkan Sarawak akan mempunyai apa yang kita panggil sebagai Pusat Perubahan Iklim Sarawak, di mana pusat ini akan mengawasi dan menguruskan semua pembangunan dalam perdagangan karbon, penyimpanan karbon dan juga sektor lain dalam ekonomi kita supaya selaras dengan matlamat mengekalkan kelestarian.

"Bagaimanapun, untuk tujuan itu, kita perlu meningkatkan dahulu rangka kerja undang-undang kita dari segi peraturan perdagangan karbon dengan kerjasama organisasi antarabangsa, termasuk pihak berkepentingan bagi rangka kerja peraturan untuk memantau semua komponen," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Karbon Asia (ACC) 2023 yang dihadiri Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari berkata adalah penting untuk menubuhkan badan rangka kerja tadbir urus kerajaan Sarawak yang baharu untuk menyelia dan mengurus semua perkara berkaitan perubahan iklim serta perdagangan karbon.

Katanya, sebagai sebuah negeri yang komited untuk menangani perubahan iklim, Sarawak harus meneroka dan melaksanakan pelbagai strategi.

"Pertama, Sarawak kini sedang membangunkan dasar untuk perubahan iklim yang menyediakan rangka kerja komprehensif bagi menangani isu kritikal ini. 

"Dasar ini akan membimbing semua masyarakat di Sarawak ke arah masa depan yang lebih mampan dan berdaya tahan," jelasnya.

Selain itu katanya, mengakui kehidupan bandar dan aktiviti ekonomi adalah sumber utama pelepasan gas rumah hijau, maka Sarawak sedang membangunkan pelan tindakan rendah karbon untuk bandar dan pekan di Sarawak.

Menurutnya, pelan tindakan itu akan membantu Sarawak menangani cabaran alam sekitar tempatan seperti pengurusan sisa, banjir dan pencemaran udara sambil menggalakkan gaya hidup rendah karbon.

"Sarawak telah secara agresif menetapkan sasaran untuk pembangunan tenaga boleh diperbaharui, seperti solar, angin dan hidro. 

"Ini akan mengurangkan kebergantungan kita kepada bahan api fosil dan mengurangkan pelepasan karbon.

"Pelaksanaan sasaran tenaga boleh diperbaharui juga akan menggalakkan pelaburan dalam teknologi tersebut, mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan untuk rakyat kita," katanya.

Selain itu kata Abang Johari, Sarawak juga melabur dalam usaha pemuliharaan hutan untuk melindungi dan memulihkan hutan yang bertindak sebagai penyerap karbon.

Katanya, Program Pemulihan Landskap Hutan di Sarawak menyasarkan untuk menanam 35 juta pokok menjelang 2025, iaitu satu sumbangan penting ke arah matlamat negara untuk mencapai 100 juta pokok menjelang tahun yang sama.

"Kita faham bahawa hutan kita adalah bahagian penting daripada khazanah semula jadi dan identiti budaya kita, dan melabur dalam pemuliharaan hutan adalah penting untuk memelihara alam sekitar kita.

"Sarawak mempunyai potensi dan peluang yang luas dalam penyelesaian berasaskan alam semula jadi, khususnya sektor perhutanan yang dijangka menjana hasil daripada nilai pemuliharaan tidak ketara bagi bahan dan perkhidmatan hutan sebanyak kira-kira RM900 bilion untuk negeri menjelang 2030," katanya.

Advertisement