Anda di sini

Salzo bertanding Naib Ketua UMNO Libaran

Advertisement
SALZO
SALZO

SANDAKAN: Mantan Ketua Pemuda UMNO Libaran, Datuk Salzo Asa menawarkan diri bertanding jawatan Naib Ketua UMNO Libaran bagi sesi 2023-2026 pada pemilihan parti itu,18 Mac depan.

Salzo berkata, dalam suasana dan landskap politik yang cukup berbeza ketika ini, UMNO perlu bertahan dan mengelak perpecahan.

“Ahli UMNO perlu terus mendukung prinsip demokrasi dan bekerja kuat untuk parti keramat ini supaya kekal relevan serta diterima rakyat selamanya,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Pemilihan kali ini, beliau melihat ia sebagai keterbukaan demokrasi iaitu UMNO sentiasa membuka ruang kepada ahli parti yang berpontensi untuk menawarkan diri bagi sebarang jawatan.

“Saya percaya setiap calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding adalah atas rasa sayangkan UMNO dan ia akan berjalan secara sihat, berhemah serta penuh ukhwah.

“Sekiranya diberi peluang memegang jawatan Naib Ketua UMNO Libaran, fokus utama sudah tentulah untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO,” katanya.

Menurutnya, UMNO Libaran perlu segar dan terus menyentuh segenap lapisan masyarakat termasuklah jemaah masjid, peniaga, orang muda, golongan B40, profesional, penjawat awam dan swasta di bandar serta kampung.

Salzo menegaskan perkara itu telah dilakukan sewaktu menjadi Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sungai Sibuga dan Bendahari UMNO Libaran.

“Penawaran diri saya untuk jawatan Naib Ketua UMNO Libaran kali ini adalah satu tanggungjawab bagi meneruskan kesinambungan parti agar mendapat tempat di hati rakyat.

“Saya akan membantu Ketua UMNO Libaran UMNO Datuk Suhaimi Haji Nasir dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian, sekiranya menang merebut jawatan ini,” katanya.

Beliau menawarkan diri atas keinsafan bahawa UMNO Libaran harus bergerak pada landasan “1 Saf 1 Kebangkitan”.

“Sebagai sebuah parti politik, semestinya hala tuju utama adalah memenangi pilihan raya serta memperkuatkan UMNO dan BN di peringkat akar umbi,” katanya.

Terdahulu, Salzo adalah pemimpin yang tidak asing lagi dalam kalangan rakyat di Libaran kerana pernah menjawat Ketua Pemuda UMNO Libaran (2001-2004), Bendahari UMNO Bahagian Libaran (2004-2014), Perwakilan UMNO Libaran Ke Persidangan UMNO Malaysia (2008-2018) dan PPM DUN Sungai Sibuga (2017).

  • oleh
  • Advertisement